ASAL-USUL ZAMAN DARURAT
DI TANAH MELAYU 1948 - 1960

PENGENALAN
Zaman Darurat merupakan satu titik hitam dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu di mana berlakunya peperangan terbuka di antara pihak kerajaan dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang turut melibatkan semua lapisan rakyat Tanah Melayu. Banyak penyelidikan dan kajian telah dijalankan oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan luar negeri mengenai zaman Darurat di Tanah Melayu yang berlaku selama dua belas tahun iaitu 1948 hingga 1960. Namun demikian, walaupun terdapat begitu banyak kajian, yang menyedihkan ialah di kalangan generasi muda hari ini, terutamanya mereka yang dilahirkan selepas penubuhan Malaysia, 1963 yang tidak terlibat secara langsung dalam zaman Darurat hanya mempunyai ide kabur tentang peristiwa tersebut. Oleh yang demikian, penulis telah mengusahakan bibliografi beranotasi ini dengan disertakan sejarah ringkas zaman Darurat di Tanah Melayu yang telah berlaku 52 tahun dahulu.

Secara rasminya, zaman Darurat di Tanah Melayu bermula pada tahun pertengahan 1948 dan berakhir pada tahun Julai 1960. Tetapi pada hakikatnya, sebelum tahun 1948 beberapa peristiwa kacau-bilau telahpun dilancarkan oleh pengganas-pengganas komunis. Begitu juga, kekerapan dan ketegangan pertempuran kerajaan-komunis telahpun reda lebih kurang pada penghujung tahun 1954.

Pembunuhan tiga orang Eropah di Sungai Siput, Perak oleh komunis pada l6 Jun 1948 telah membawa kepada pengisytiharan Darurat oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Edward Gent di beberapa kawasan di Perak dan Johor. Pada 18 Jun 1948, setelah keganasan PKM menjadi-jadi, Darurat telah diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu apabila PKM melancarkan pemberontakan bersenjata. Seterusnya, PKM diharamkan secara rasmi pada 23 Julai 1948.

Strategi-strategi Parti Komunis Malaya (PKM)

Strategi-strategi PKM untuk mengambilalih kuasa di Tanah Melayu diusahakan melalui tiga peringkat. :

Peringkat pertama, PKM bergiat untuk melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu dengan memusnahkan estet-estet getah dan lombong-lombong bijih timah, dua industri penting Tanah Melayu. 
Peringkat kedua, menawan dan menguasai kawasan-kawasan dan bandar-bandar terpencil bagi digunakan sebagai markas untuk menyerang pihak kerajaan.
Peringkat terakhir, dari markas-markas tersebut PKM akan cuba menghalau serta mengusir pihak British dari Tanah Melayu dan kemudiannya menguasai seluruh Tanah Melayu.
Justeru itu, sebuah kerajaan Republik Komunis Tanah Melayu akan dibentukkan untuk memerintah Semenanjung Tanah Melayu. 
Dalam pemberontakan bersenjatanya, PKM menggunakan taktik-taktik perang gerila di mana pengganas-pengganas komunis beroperasi melalui unit-unit yang kecil di antara 200 hingga 400 orang dengan menggunakan senjata-senjata yang berjaya disorokkan semasa pendudukan Jepun yang telah dibekalkan oleh tentera British. 
PKM juga telah menubuhkan satu unit bekalan dan pengintipan awam iaitu Min Yuen. Min Yuen memainkan dua peranan penting iaitu mendapatkan bekalan makanan dan perubatan serta memperolehi maklumat-maklumat mengenai kegiatan-kegiatan kerajaan dalam usahanya menentang PKM. PKM telah melancarkan serangan-serangan yang hebat ke atas estet-estet getah, lombong-lombong bijih timah, balai-balai polis dan orang awam antara tahun-tahun 1948-1951. Kejayaan paling besar PKM ialah pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di jalan ke Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951.

Sebab-sebab PKM melancarkan pemberontakan bersenjata

Mengapakah PKM melancarkan pemberontakan bersenjata terbuka? Terdapat banyak faktor yang mendorong PKM melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1948.
1. Salah satu faktor ialah kegagalan polisi perdamaian Barisan Bersatu di mana PKM telah gagal mencapai cita-citanya melalui cara-cara perlembagaan atau perdamaian di antara tahun-tahun 1945-1948. Dalam tempoh tersebut, PKM melalui kesatuan-kesatuan sekerja yang dikuasainya telah menlancarkan pemogokan bagi melemahkan dan menjatuhkan kerajaan British di Tanah Melayu. 
2. Menjelang tahun 1947, pengaruh PKM ke atas gerakan buruh telah merosot dan oleh yang demikian, PKM terpaksa menggunakan cara kekerasan untuk menjatuhkan kerajaan British di Tanah Melayu. Seterusnya, perubahan pucuk pimpinan dan krisis dalam PKM turut mengakibatkan pemberontakan komunis. Setiausaha PKM, Lai Teck yang didapati menjadi ejen Jepun dan British telah menghilangkan diri dengan wang parti pada bulan Mac 1947 menyebabkan ahli-ahli PKM tergoncang keyakinan mereka. Untuk memulihkan semangat perjuangan komunis, pemimpin baru, Chin Peng berpendapat perlunya dasar yang lebih aktif dan dramatik untuk menggerakkan PKM ke hadapan supaya kerajaan British dapat dijatuhkan dan kerajaan komunis ditubuhkan. Selain itu, PKM juga dipengaruhi oleh pihak luar seperti Kongres Pemuda Komunis Asia di Calcutta pada bulan Februari 1948 yang mengarahkan parti-parti komunis untuk melancarkan pemberontakan bersenjata demi mencapai matlamat masing-masing. Kemudiannya, PKM juga telah digesa oleh Parti Komunis China untuk memulakan revolusi di Tanah Melayu. Seterusnya, kejayaan-kejayaan pihak komunis di negara China, Greece dan Indo-China telah memberi inspirasi kepada PKM untuk melancarkan pemberontakan di Tanah Melayu yang pada pendapat mereka akan berjaya.

Langkah-langkah ke arah membanteras pemberontakan bersenjata PKM

Untuk mengatasi pemberontakan bersenjata PKM, kerajaan British di Tanah Melayu telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasinya. 
Pertama
Darurat telah diisytiharkan di seluruh Tanah Melayu dan pertubuhan PKM telah diharamkan. Di bawah Peraturan-peraturan Darurat 1949, kerajaan boleh menahan sesiapa yang disyaki terlibat dengan kegiatan komunis tanpa bicara. 2. Selain itu, perintah berkurung dan pemeriksaan tanpa waran serta pengawalan pergerakan lalulintas dan makanan dijalankan untuk melemahkan PKM.
Kerajaan juga memperkenalkan sistem pendaftaran kebangsaan di mana semua penduduk Tanah Melayu yang berumur 12 tahun ke atas mesti mendaftarkan diri dan membawa kad pengenalan untuk memudahkan pengesanan anasir-anasir komunis. Ini menyebabkan ramai pemimpin komunis melarikan diri ke hutan akibat takut diberkas oleh pihak kerajaan. 

Kedua
Rancangan Briggs telah dilaksanakan oleh Pengarah Gerakan yang baru iaitu Leftenan-Jeneral Sir Harold Briggs di negeri Johor pada 1 Jun 1950 dan seterusnya di seluruh Tanah Melayu. Rancangan Briggs bertujuan menempatkan semula setinggan-setinggan Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan ke kampung-kampung baru untuk melindungi mereka yang dipaksa membantu PKM dan lebih penting bagi menghapuskan sistem bekalan komunis. Menjelang tahun 1952, seramai 400 000 orang setinggan Cina telah ditempatkan semula di lebih kurang 400 buah kampung baru. Penempatan semula ini telah berjaya melemahkan PKM yang terpaksa keluar dari hutan dan bertempur dengan tentera kerajaan. Ini telah memudahkan usaha-usaha kerajaan untuk menghapuskan pemberontakan komunis.

Ketiga
Penubuhan Majlis Perang Persekutuan dan Jawatankuasa-jawatankuasa Kerja Perang di peringkat daerah dan negeri melalui Arahan No. 1 bertarikh 16 April 1950. Majlis Perang Persekutuan dianggotai pegawai-pegawai atasan, polis, tentera udara dan darat bertujuan merancang dasar perang umum manakala Jawatankuasa Kerja Perang peringkat negeri dan daerah berperanan mengkoordinasikan rancangan-rancangan operasi dalam menentang pengganas-pengganas komunis.

Keempat
Perluasan pasukan tentera di mana mata-mata khas Melayu seramai 24 000 orang telah dilatih dengan segera untuk mengawasi ladang, lombong dan kawasan-kawasan terpencil. Pasukan Polis Persekutuan diperbesarkan menjadi 67 000 orang menjelang tahun 1952. Antara tahun-tahun 1951-53, sejumlah 250 000 - 350 000 Pengawal Kampung (Home Guards) telah diwujudkan untuk membantu memperkukuhkan pertahanan menentang revolusi bersenjata PKM. Dalam pada itu, sebanyak 23 batalion askar telah dihantar dari Britain dan negara-negara Komanwel untuk membantu dalam serangan yang lebih agresif terhadap komunis di hutan. Dalam pada itu, pada tahun 1951, kerajaan Tanah Melayu telah mengadakan langkah pengerahan masuk tentera ke atas rakyatnya yang sihat dan kuat untuk bersama-sama berjuang menentang pengganas-pengganas komunis. Menurut rancangan pengerahan, mereka yang dikerah diwajibkan melaporkan diri di antara tujuh hingga sepuluh hari di kem latihan dan seterusnya akan dihantar ke pusat latihan selama tiga bulan untuk latihan ketenteraan asas. Namun demikian, rancangan pengerahan tidak berjaya kerana tidak mendapat sambutan baik rakyat terutamanya kaum Cina. Tambahan dalam kekuatan tentera telah berjaya melemahkan dan melumpuhkan gerila-gerila komunis sama ada dalam bentuk serangbalas atau mempertahankan keselamatan negara.

Kelima
Perang saraf atau perang psikologi yang digunakan oleh Jeneral Sir Gerald Templer yang menjadi Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Januari 1952. Dalam menjalankan perang psikologi, Jeneral Templer berharap dapat memenangi hati dan fikiran rakyat untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usahanya menghapuskan komunis-komunis. Antara langkah-langkah perang psikologi yang telah dijalankan ialah pindaan peraturan-peraturan kewarganegaraan yang membolehkan lebih ramai orang bukan Melayu menjadi warganegara dan proses pilihanraya majlis-majlis tempatan bagi mewujudkan rasa tanggung-jawab rakyat terhadap negara mereka dan membawa mereka ke arah berkerajaan sendiri. Dengan itu, rakyat digalakkan untuk memberi maklumat-maklumat untuk membolehkan penangkapan gerila-gerila komunis selain daripada mendapat hadiah wang tunai yang diberikan kerajaan. Hadiah wang tunai yang paling tinggi ditawarkan ialah $250 000 untuk penangkapan Chin Peng. Gerila-gerila komunis juga digesa menyerah diri melalui risalah-risalah yang digugurkan dari udara ke dalam hutan di mana mereka akan diampunkan dan dibantu menyesuaikan diri semula dalam penghidupan baru mereka. Kemudiannya, Jeneral Templer telah mewujudkan kawasan-kawasan putih dan hitam di mana kawasan-kawasan putih yang bebas daripada kegiatan komunis dilonggarkan peraturan-peraturan darurat manakala kawasan-kawasan hitam yang masih aktif komunis diperketatkan lagi kawalannya. Dengan itu, berjayalah perang psikologi Templer dalam menentang pemberontakan bersenjata komunis menjelang tahun 1955.

Perkembangan sosio-ekonomi zaman Darurat 

Ketika zaman Darurat 1940-an dan awal 1950-an, kehidupan di bandar-bandar besar terutamanya tidak terjejas di mana berbagai-bagai hiburan dan pertandingan sukan telah dijalankan. Misalnya, joget, pertunjukan bangsawan, cabaret dan opera Cina telah dinikmati penduduk-penduduk bandar-bandar besar pada masa itu manakala pertandingan-pertandingan sukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, kriket, badminton dan olahraga telah disertai orang ramai terutamanya pelajar-pelajar sekolah dan orang dewasa dengan penuh semangat dan penuh kegembiraan. Dalam arena badminton pula, ahli-ahli sukan negara kita telah mencapai kejayaan gemilang dengan memenangi Piala Thomas pada masa itu. Begitu juga dalam sukan hoki, pada tahun 1956 negara kita telah layak ke peringkat Sukan Olimpik di Melbourne, Australia. Selain daripada itu, dalam sukan angkat berat, dalam British Empire Games di Auckland, peserta-peserta angkat berat negara telah memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa. Kejayaan dalam arena sukan antarabangsa menunjukkan rakyat Tanah Melayu tidak memberi perhatian yang berat kepada perjuangan komunis. Yang menghairankan ialah tiada terdapat apa-apa insiden yang tidak diingini berlaku dalam mensabotaj perkembangan sukan negara ketika itu oleh agen-agen komunis. Namun demikian, Darurat telah melambatkan pembangunan kerana kerajaan British Tanah Melayu terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mematahkan revolusi bersenjata PKM yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur negara.

Faktor-faktor kegagalan PKM merampas kuasa

Pada 31 Julai 1960, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu telah mengisytiharkan tamatnya Darurat yang membawa maksud kegagalan PKM dalam pemberontakan bersenjatanya. Kegagalan PKM dalam merampas kuasa disebabkan keberkesanan langkah-langkah offensif kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dalam menangani PKM seperti perkembangan pasukan bersenjata, rancangan Briggs, Majlis Perang Persekutuan dan perang psikologi Templer. Selain itu, PKM juga kekurangan sokongan meluas rakyat Tanah Melayu terhadap cita-cita PKM terutamanya daripada kaum bukan Cina kerana ideologi komunis yang anti-agama dan ketiadaan bantuan dari negara-negara komunis lain seperti Russia dan negara China. Seterusnya, taktik-taktik PKM dalam menggulingkan kerajaan seperti serangan pukul lari ke atas pelombong, peladang, balai polis, jalan keretapi dan orang awam menyebabkan penderitaan dan kesusuahan telah menimbulkan perasaan benci terhadap PKM . Dengan itu, menjelang tahun 1954 pemberontakan bersenjata PKM sudah tertekan dan kelihatan kegagalan PKM yang mulai merosot dan lumpuh. Kegagalan PKM ialah kemenangan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.