Pemberontakan Bersenjata Parti Komunis Malaya
1948 - 1960


Selepas Jepun kalah di tangan British pada tahun 1945, Parti Komunis Malaya (PKM) telah keluar dari hutan dan menjalankan pemberontakan secara terbuka terhadap kerajaan British. Dalam tahun 1947 sahaja, sebanyak 300 mogok pekerja telah dilakukan oleh PKM. PKM bukan sahaja memberontak dari segi ketenteraan malah membangkitkan soal politik, ekonomi dan sosial.
Pada 16 Jun 1948, gerila-gerila komunis telah membunuh tiga orang peladang Eropah di Sungai Siput, Perak. Akibat dari peristiwa ini, Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu pada waktu tersebut, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan darurat di Perak dan Johor pada 18 jun 1948 dan di seluruh Tanah Melayu pada 19 Jun 1948.

Pelbagai rancangan dan undang-undang telah diadakan oleh kerajaan British untuk menyekat aktiviti-aktiviti PKM. Antaranya:
1. Menggubal Undang-undang Darurat. Di bawah undang-undang ini, sesiapa yang disyaki membawa atau memiliki senjata api dan orang yang disyaki bersubahat dan bekerjasama dengan PKM akan ditahan oleh British dan di penjara selama 2 tahun tanpa perlu dibicarakan.
2. Sir Edward Gent juga telah mengharamkan PKM pada 23 Julai 1948.
3. Pada bulan Mac 1949, kerajaan British telah memperkenalkan sistem pendaftaran kebangsaan di mana setiap penduduk yang berusia 12 tahun ke atas perlu mendaftarkan diri dan membawa kad pengenalan. Ahli PKM tidak dibenarkan mendaftar. Ini memudahkan kerajaan British mengenal pasti ahli PKM dan seterusnya menangkap mereka.
4. Sekatan-sekatan jalan raya diadakan bagi memastikan bekalan makanan dan senjata tidak sampai kepada gerila komunis.
kerajaan turut menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan-kawasan kegiatan komunis.
5. Memperkenalkan rancangan Briggs, Perang Saraf.
6. Cuba mengadakan rundingan damai iaitu Rundingan Baling.
7. Menyusun dan menguatkan semula angkatan tentera dengan:
a. Menyediakan tentera dengan peralatan perang yang lengkap. Kapal terbang dan helikopter digunakan untuk melakukan serangan udara.
b. menambahkan askar dan anggota polis.
c. menubuhkan Pasukan Polis Khas untuk mengawal ladang-ladang getah dan lombong-lombong timah daripada serangan komunis.
d. Melantik mata-mata Khas dan Pasukan Kawalan Tempatan untuk mengawal kampung dan bandar.
e. Membawa masuk askar-askar asing seperti dari Australia, New Zealand, Fiji dan Afrika Timur.
f. Menjelang tahun 1952, kekuatan pasukan Polis Persekutuan dan Mata-Mata Khas berjumlah kira-kira 67,000 orang.
g. Memperkenalkan Perkhidmatan Negara yang mewajibkan golongan belia mengikuti latihan ketenteraan dan menyertai angkatan tentera apabila diperlukan.
h. Rumah dan pejabat di luar bandar dipagari dengan kawat berduri.
i. Hubungan melalui radio diadakan sehingga ke kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman.

Darurat akhirnya diisytiharkan tamat pada 31 Julai 1960 selepas hampir 12 tahun. Zaman darurat telah menimbulkan pelbagai kesan negatif terhadap Tanah Melayu, di antaranya ialah melambatkan proses Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan mengganggu kegiatan politik berhaluan kiri seperti AWAS, API dan PUTERA.

Pada bulan April 1950, Sir Harold Briggs telah dilantik sebagai Pengarah Operasi di Tanah Melayu. Rancangan Briggs diperkenalkan untuk melemahkan kegiatan komunis sehingga terhapusnya PKM. Rancangan ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Penempatan semula setinggan-setinggan dalam Kampung Baru.
         Pihak komunis telah memeras penduduk di pedalaman dan pinggir hutan supaya membekalkan mereka dengan barang-barang keperluan dan bahan makanan. Masalah ini cuba diatasi oleh pihak British dengan menempatkan penduduk di kawasan ini ke Kampung Baru. Menjelang tahun 1954 terdapat hampir 500 buah Kampung Baru dengan penduduk lebih daripada 500 000 orang. Kampung Baru ini dilengkapi dengan kawalan yang ketat oleh Pasukan Kawalan Kampung (Home Guards), bekalan air dan elektrik serta sekolah dan perkhidmatan awam. Tujuan kampung Baru dibina ialah untuk:
a. menjamin keselamatan penduduk.
b. mendapatkan kerjasama penduduk untuk memberi maklumat mengenai pergerakan dan kedudukan kem komunis.
c. memutuskan hubungan antara tentera komunis dengan orang ramai.
d. memaksa komunis keluar dari tempat persembunyian mereka di hutan untuk mencari makanan.
 
 Keadaan di salah satu kawasan di Kampung Baru
Operasi Kelaparan (Operation Starvation). Di bawah operasi ini, kawalan ketat dikenakan ke atas pembelian, penjualan, penyimpanan, dan pengangkutan barang makanan. Kad catuan makanan diperkenalkan supaya barang makanan tidak jatuh ke tangan gerila komunis. Dengan kad catuan makanan ini, penduduk terutama di kawasan Kampung Baru dibenarkan membeli barang makanan mengikut had yang telah ditetapkan.
 
 
            Jeneral Sir Gerald Templer telah dilantik sebagai Pesuruh Jaya Tinggi yang baru menggantikan Sir Henry Gurney yang mati dibunuh dalam serang hendap oleh gerila komunis di Kuala Lumpur pada 6 Oktober 1951. Beliau mula menjadi pengarah operasi pada bulan Februari 1952. Jeneral Sir Gerald Templer telah melancarkan Perang Saraf terhadap komunis di mana di bawah rancangan tersebut Templer telah:
a. melonggarkan syarat kerakyatan bagi orang bukan Melayu.
b. memperkenalkan pilihanraya majlis peringkat negeri untuk menanamkan rasa bangga dan bertanggungjawab di kalangan penduduk tempatan.
c meningkatkan tawaran hadiah ke atas segala maklumat tentang komunis ataupun pembunuhan gerila-gerila komunis seperti penawaran hadiah sebanyak $250 000 terhadap pembunuhan atau penangkapan Chin Peng, ketua PKM.
d. mengisytiharkan bahawa kerajaan sedia memberi pengampunan dan membantu anggota-anggota komunis yang menyerah diri.
e. mengadakan soal-selidik dan melawat Kampung Baru untuk mendapat maklumat tentang kegiatan komunis.
memperkenalkan 'kawasan putih' dan 'kawasan hitam'. Kawasan putih ialah kawasan yang bebas daripada segala pengaruh komunis dan di kawasan ini peraturan darurat dan perintah berkurung di kurangkan. Kawasan pertama diisytiharkan sebagai kawasan putih ialah di Melaka pada September 1952. Kawasan hitam merupakan kawasan di mana komunis masih bergerak aktif. Perintah berkurung dan kawalan ketat terhadap bekalan makanan masih diteruskan.
f. risalah-risalah mengenai janji-janji dan pengampunan terhadap gerila komunis diedarkan dengan menjatuhkan risalah tersebut ke dalam hutan melalui udara.
 
Langkah-langkah kerajaan untuk memerangi komunis seperti Rancangan Briggs dan Perang Saraf telah berjaya melemahkan kedudukan PKM. Menjelang tahun 1955, kedudukan komunis semakin merosot kerana bekalan makanan tidak mencukupi, semangat tentera komunis semakin pudar terutama selepas Sir Gerald Templer mengisytiharkan pengampunan terhadap gerila komunis yang menyerah diri dan pemberontakan komunis di negara Asia Tenggara lain juga menemui kegagalan.
Selepas pilihanraya umum 1955, Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan semua komunis yang menyerah diri tidak akan dikenakan sebarang hukuman. Menyedari kekalahan yang bakal dialami oleh pihak komunis, Chin Peng telah menulis surat meminta satu rundingan damai diadakan. Pada 28 dan 29 Disember 1955, satu rundingan akhirnya diadakan di antara pihak kerajaan yang diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, David Marshall dan Tun Tan Cheng Lock dengan pihak komunis yang diwakili oleh Chin Peng, Rashid Maiden dan Chin Tian di Baling, Kedah. Namun begitu, rundingan ini menemui gagal menemui kata sepakat apabila Tunku Abdul Rahman enggan menerima syarat yang dikenakan oleh Chin Peng yang meminta keajaan mengakui Parti Komunis Malaya sebagai parti yang sah dan bebas melakukan aktivitinya.