abl.jpg (930 bytes)

Insenarator Kaedah Terbaik

Insenarator kaedah terbaik
Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my


PENGHASILAN 2,500 tan sampah sehari dengan hampir 1.5 kilogram dikeluarkan setiap individu di Kuala Lumpur, memungkinkan bandar raya ini ditimbuni sampah sarap satu hari nanti berikutan tempat atau kawasan pelupusan semakin terhad.

Jumlah itu meningkat berbanding laporan yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2001 yang menunjukkan seorang penduduk di negara ini menghasilkan 0.8 kilogram sisa pepejal sehari, menjadikan kira-kira 15,000 tan bahan itu dihasilkan di seluruh negara setiap hari.

Berdasarkan kajian itu, jumlah berkenaan membimbangkan kerana pembuangan tidak sempurna dan terkawal boleh mencemarkan alam sekitar, menyebabkan longkang tersumbat, banjir kilat, mewujudkan keadaan tidak selesa seterusnya menjejaskan kesihatan orang ramai.

Bagaimanapun, keadaan itu boleh diatasi dengan mengitar semula bahan buangan pepejal atau melupuskannya melalui penggunaan insenarator.

Kini, kaedah insenarator menjadi antara pilihan utama kerana ia mampu mengatasi masalah pencemaran, selain memastikan ekosistem terus terjaga.

Institut Penyelidikan Teknologi Nuklear (Mint) misalnya mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan terhadap rawatan sisa pepejal menggunakan insenarator yang dapat membantu memudahkan proses pelupusan sisa pepejal tanpa mendatangkan kesan buruk terhadap alam sekitar dan juga kepada masyarakat.

Lebih bersih

Hasil penyelidikan yang bermula sejak tiga tahun lalu itu menunjukkan insenarator yang berjaya dibangunkan menggunakan kaedah penggasan, iaitu membakar sampah dengan menggunakan gas dan kemudian menukar gas yang terhasil menjadi lebih bersih sebelum dilepaskan di udara.

Menurut Pengurus Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui dan Insenarator Mint, Dr Mohamad Puad Abu, kajian yang dinamakan Penggunaan Teknologi Terma Untuk Merawat Sisa Pepejal Perbandaran itu menggunakan Gas Petroleum Cecair (LPG) sebagai bahan api utamanya.

Katanya, teknologi insenarasi yang digunakan dalam kaedah pelupusan sisa pepejal terbahagi kepada tiga jenis iaitu pembakaran menggunakan udara atau oksigen secara berlebihan, pembakaran menggunakan udara/oksigen terhad dan kaedah pembakaran udara/oksigen sifar.

“Dalam aplikasi proses penggasan atau bantuan udara terhad ini, kita membangunkan satu sistem insinerator dengan menggunakan dua kebuk pembakaran, iaitu kebuk prima dan sekunder.

“Kebuk prima atau kebuk pertama membakar pada suhu rendah di bawah 600 darjah Selsius, manakala kebuk sekunder membakar pada tahap sehingga 1,000 darjah Selsius,” katanya.

Dalam kebuk prima, katanya, sampah yang dimasukkan akan dibakar menggunakan gas LPG pada tahap 600 darjah Selsius selama lima hingga lapan jam, yang mana dalam proses itu bahan organik ringan akan meruap dan terbakar bersama bahan bukan organik sehingga menjadi abu, termasuk bahan toksik dan logam berat.

Sepanjang berlaku pembakaran dalam kebuk prima itu, proses berkenaan turut menghasilkan gas pencemar seperti karbon monoksida hasil daripada pembakaran separa lengkap.

Katanya, gas yang terhasil pula akan disalur dan dibakar secara sempurna dalam kebuk sekunder pada tahap 1,000 darjah Selsius.

Musnah

“Dalam kebuk sekunder ini, segala bahan toksid dan gas pencemar akan musnah kerana suhu pembakarannya yang tinggi.

“Gas pencemar seperti karbon dioksida, sulfur dioksida dan ammonia yang terhasil akan dikawal pelepasannya ke udara menggunakan kaedah peresapan air bagi mengelak pencemaran,” katanya.

Dr Puad berkata, setiap pelepasan asap ke udara selepas proses itu akan diambil bagi memastikan kandungan bahan pencemarnya mematuhi piawaian.

Katanya, keseluruhan proses itu mengambil masa antara 14 hingga 18 jam merangkumi fasa pengeringan, pembakaran, penyejukan dan pembuangan abu, termasuk pengawalan secara automatik ketika pembakaran.

Beliau berkata, insenarator direkabentuk berdasarkan ciri-ciri sampah di sesuatu tempat dan kerana itu pencirian sampah perlu dilakukan dulu sebelum membangunkan mesin mengikut kesesuaiannya.

“Di Pulau Pinang misalnya, kita pergi ke tempat pembuangan sampahnya di Ampang Jajar dan Pulau Burung untuk mengkaji sampah yang datang dari kawasan atau zon tertentu serta mengkelaskannya mengikut jenis seperti plastik, makanan atau sampah kebun.

“Manakala di Kuala Lumpur, ia berbeza kerana di sini lebih banyak bahan buangan atau sampah dari rumah seperti beg plastik, jadi penciptaan mesin itu perlu bersesuaian untuk mencapai hasil maksimum,” katanya.

Untuk setiap insenarator yang dicipta, ia bergantung kepada jenis dan saiznya, misalnya sistem yang dihasilkan di Mint dengan kapasiti 70 kilogram sampah menelan kos RM300,000.

Katanya, abu yang dihasilkan selepas proses itu boleh digunakan untuk membuat batu-bata.

www.bharian.com.my
http://www.emedia.com.my/Current_News/HM/Sunday/Sains/20040222105804/

abd.jpg (940 bytes)