Taiping Gopeng Brinchang Muntah Tidur Stunt
Peserta
Zoo Taiping
Muzium Perak
Anak Yatim
Hotel Jasmine
Taman Rose
Ternak Lebah
Ladang Teh
Butterfly
Kaktus
Tanah Rata
Lata Iskandar


Sejarah Awal 
KAWASAN induk kerajaan Perak terletak di bahagian muara Sungai Perak. Maka di kawasan itulah dahulu Raja-raja Perak bersemayam. Perak, seperti kerajaan-kerajaan Melayu lain, juga terdiri daripada beberapa jajahan takluk. Di utara, Sungai Krian menjadi rebutan di antara Perak dengan Kedah; di selatan, Sungai Bernam menjadi rebutan, di antara Perak dengan Selangor. Sungai Larut juga merupakan jajahan takluk negeri Perak. Terletak jauh dari Hilir Perak, Larut, sehingga awal kurun ke 19, tidaklah termasyhur, 

Umum mengetahui bahawa kemudian Long Ja'afar membuka lombong bijih timah di Larut. Menurut catatan-catatan yang sedia ada, bijih timah buat kali pertama dieksport dari Larut pada 1844. Sebelum itu bijih timah lebih banyak dikerjakan di kawasan Hilir Perak dan Bidor. Long Ja'afar berasal daripada keluarga berketurunan Aceh; bapa saudaranya (Alang Allaidin) memegang jawatan Datuk Panglima Bukit Gantang. Long Ja'afar berkahwin dengan sepupunya Ngah Pura, anak Alang Allaidin. 

Kejayaan lombongnya merapatkan hubungan di antara Long Ja'afar dengan saudagar-saudagar Cina di Pulau Pinang kerana bijih timah Larut dijual kepada saudagar-saudagar Pulau Pinang. Akibatnya Long Ja'afar mengupah orang Cina untuk mengerjakan lombong di Larut. Pada pertengahan kurun ke 19, orang Cina mulai menetap di Asam Kumbang, Kelian Pauh dan Kelian Baru. 

Golongan pertama orang Cina yang datang ke Kelian Pauh diketuai oleh Law Sam; hubungannya dengan Long Ja'afar amatlah erat. Sehingga masa Ngah Ibrahim (anak Long Ja'afar), Law Sam dianggap sebagai ketua orang Cina walaupun di kalangan orang Cina yang terdiri daripada beberapa suku, pengaruhnya adalah terhad kepada mereka yang sesuku dengannya. 

Pelombong-pelombong masa itu menggunakan Sungai Larut untuk masuk ke kawasan perlombongan. Dalam perjalanan ke kawasan pendalaman kampung-kampung yang penting ialah Matang, Simpang, Kota, Kelian Pauh, Kelian Baru dan Kamunting. Jajahan Larut itu menjadi semakin penting apabila permintaan untuk bijih timah meningkat naik akibat perkembangan perusahaan papan timah di Britain. Sehingga pertengahan kurun ke 19, Hilir Perak adalah pusat kegiatan ekonomi, barang-barang eksport dan import disalurkan melalui muara Sungai Perak. Mulai pertengahan kurun ke 19, pusat itu berpindah ke Jajahan Larut. 

Pada peringkat inilah, Long Ja'afar mengambil keputusan untuk mengukuhkan kedudukannya di Larut yang menjadi pegangan bapa mertuanya. Long Ja'afar berjaya memujuk Sultan Shahabuddin (1831-1851) supaya memberikan Jajahan Larut kepadanya sebagai pegangan. Ini dilakukan dengan pemberian surat kuasa bertarikh 6 November 1850. Pada masa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Syah (1851-1857), perselisihan berlaku di Perak; kedudukan baginda dicabar oleh Raja Muda Ngah Ja'afar yang lebih berpengaruh. Daripada Raja Ja'afar, Long Ja'afar mendapatkan surat kuasa baru yang bertarikh 8 November 1856. 

Setelah Sultan Abdullah mangkat pada 1857, Raja Ja'afar ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Perak. Lebih kurang pada masa ini juga Long Ja'afar telah meninggal; anaknya, Ngah Ibrahim, menjadi warisnya dan seterusnya menjalankan pentadbiran di Jajahan Larut dibantu oleh Ngah Lamat, saudara pada Long Ja'afar. Ngah Ibrahim diberi surat kuasa baru bertarikh 24 Mei 1858. 

Ngah Ibrahim tinggal di Permatang (Matang), Ngah Lamat di Kota (dengan Kubang Buaya sebagai pegangannya). Pentadbiran keluarga Long Ja'afar di Larut adalah bercorak baru. Untuk membolehkan pihak yang berkuasa menjalankan pentadbiran dengan berkesan maka diadakan pegawai-pegawai dengan tugasnya masing­masing. Setelah Long Ja'afar meninggal, seorang ulama dari Minangkabau, Sheikh Muhammad Taib, dilantik untuk menguruskan pentadbiran. Beliau dibantu oleh Abdul Jabbar. Pada bulan Oktober 1862, Sheikh Muhammad Taib meninggalkan Larut untuk berkhidmat di Pahang. Pada awal tahun 1870 an beliau terlibat dalam Perang Kelang dan menetap di Selangor. 

Tugas utama Sheikh Muhammad Taib, di Larut, adalah sebagai Hakim dan Magistret. Ini adalah sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang ulama. Bila beliau meninggalkan Larut (pada 1862) beliau diganti oleh Abdul Jabbar. Terdapat juga seorang Bendahari (Pandak Leman). Dan di Kota telah didirikan sebuah Balai dengan mata-mata yang diketuai oleh seorang Jemadar. Gelaran Jemadar ini adalah berasaskan sistem yang wujud di India pada masa itu. Ngah Ibrahim juga mempunyai seorang kerani. 

Ngah lbrahim telah dianugerahkan gelaran Orang Kaya-kaya Menteri Perak pada 23 Oktober 1863. Tetapi pada masa pentadbirannya, pergolakan politik sentiasa berlaku di Larut dan di Perak secara amnya. Pada 1861 telah berlaku pergaduhan di antara orang Cina di Jajahan Larut Matang. Waktu itu dua suku Cina yang besar di sana ialah Chen Sang (Hakka) yang menetap di Kelian Pauh dan Fui Chiu (Hakka) yang menetap di Kelian Baru. Pada awal 1860 an, bilangan orang Cina di Kelian Pauh adalah lebih kurang 4,000 dan di Kelian Baru lebih kurang 2,200. Pergaduhan itu dapat diselesaikan dengan cepat kerana golongan Fui Chiu memohon bantuan daripada pihak British di Negeri-negeri Selat. Ngah Ibrahim dipaksa membayar $174,474 sebagai ganti rugi kepada pihak Fui Chiu. 

Dalam kebanyakan buku mengenai sejarah Perak memang ada disebutkan kongsi gelap Hai San dan Ghi Hin. Hai San (dua orang ketuanya yang berpengaruh ialah Law Sam dan Chung Ah Kwee) terdiri daripada suku Chen Sang; anggota-anggota Ghi Hin adalah suku Fui Chiu. Kongsi gelap bukanlah faktor yang mengakibatkan kekacauan; kongsi gelap adalah seperti angkatan tentera yang bertindak apabila timbul keadaan cemas. Pergaduhan berlaku kerana hubungan tradisi di antara dua suku Hakka itu memang renggang. 

Pergaduhan berlaku sekali lagi pada 1865 yang membawa kepada rusuhan dan mengakibatkan kematian ramai orang Fui Chiu kerana bilangan mereka lebih kecil; tambahan pula, sejak zaman Long Ja'afar lagi telah terjalin persahabatan di antara keluarga Long Ja'afar dengan pemimpin-pemimpin suku Chen Sang. Segala harta benda dan bijih timah kepunyaan suku Fui Chiu telah dirampas. Orang Fui Chiu melarikan diri dan meninggalkan Kelian Baru dan sejak itu tidak lagi kembali ke Kelian Baru untuk mengerjakan lombong. Ramai berhijrah ke Kuala Lumpur di mana bilangan terbesar orang Cina terdiri daripada suku Fui Chiu. 

Dalam tahun-tahun yang berikut orang Cina daripada suku-suku lain tiba di Kelian Baru untuk mengerjakan lombong. Mereka ini berasal dari daerah San Neng (wilayah Kwangtung). Seperti keadaan yang lebih awal mereka datang ke Larut melalui Pulau Pinang. Mereka juga mempunyai kongsi gelap yang tersendiri yang diberi nama Ho Hup Seah; pertubuhan ini bertalian erat dengan Ghi Hin. Walaupun pada awal tahun 1870 telah ramai suku San Neng di Larut, bilangan mereka (dalam lingkungan 2,000) masih kecil berbanding dengan bilangan Chen Sang yang berjumlah lebih kurang 10,000 pada ketika itu. 

Orang Cina di Larut mempunyai hubungan erat dengan orang Cina di Pulau Pinang kerana perdagangan. Biasanya, modal yang diperlukan untuk mengerjakan lombong dikeluarkan oleh saudagar di Pulau Pinang; hasil lombong kernudian dihantar ke saudagar di Pulau Pinang setelah dilebur atau sebelumnya. Dari Pulau Pinang, bijih timah dieksport ke Singapura untuk dijual kepada pasaran dunia. 

Golongan Chen Sang di Larut mengadakan hubungan perniagaan dengan saudagar Hokkien peranakan di Pulau Pinang; saudagar Hokkien peranakan mempunyai kongsi gelap yang dikenali sebagai Toa Pek Kong. Ho Hup Yeah di Larut bertalian erat dengan Ho Hup Yeah di Pulau Pinang dan Ho Hiap Seah dengan Ghi Hin adalah seperti saudara kandung.

Pada 1872 sekali lagi pergaduhan berlaku di Larut. Ini disebabkan oleh keangkuhan pihak Chen Sang yang begitu ramai, justeru itu begitu kuat, di Larut. Ho Hup Seah dengan sendirinya tidak berdaya menentang Hai San. Oleh yang demikian pihak Ghi Hin di Trong dan Province Wellesley telah melibatkan diri membantu Ho Hup Seah. Ghi Hin yang tersebut itu terdiri daripada suku Teochiu, kebanyakannya menetap di kawasan pantai Perak yang berhampiran dengan Pulau Pinang, juga di Province Wellesley di mana mereka mengusahakan tanaman tebu. Kedudukan mereka di kawasan pantai itu membolehkan mereka menyekat jalan ke Pulau Pinang. Ini mengakibatkan terputusnya hubungan pelombong Chen Sang di Larut dengan saudagar Hokkien (Toa Pek Kong) di Pulau Pinang. Tambahan pula, dengan kekuatan mereka di laut, pihak Ghi Hin dapat menyerang pihak Hai San di muara Sungai Larut. Dari muara sungai pernah suatu kumpulan Ghi Hin (berjumlah 1,000 orang) menyerang pihak Hai San di Kelian Pauh.

Akibat campur tangan pihak Ghi Hin, kongsi gelap yang terdiri daripada orang Hokkien, iaitu Toa Pek Kong dan satu lagi yang bernama Ho Seng telah membantu Hai San. Yang menjadikan kedudukan lebih buruk lagi ialah keterlibatan pembesar-pembesar Melayu. Ngah Ibrahim sememangnya rapat dengan pihak Hai San. Tetapi, selepas kemangkatan Sultan Ali (1865 - 1871), Raja Muda Abdullah telah diketepikan dan Raja Ismail (Raja Bendahara) dilantik sebagai Yang Dipertuan yang baru. Ngah Ibrahim adalah di antara pembesar yang melantik Raja Ismail. 

Ngah Ibrahim tidak menyokong Raja Abdullah kerana takut Raja Abdullah akan mendesak supaya sebahagian besar hasil Larut diserahkan kepadanya. Akibatnya, Raja Abdullah cuba meminta bantuan daripada berbagai pihak, terutamanya saudagar-saudagar dari Singapura. Di Perak, Raja Abdullah memberi sokongan kepada pihak Ghi Hin dan Ho Hup Seah. Kemudian, melalui saudagar­saudagar Singapura, Raja Abdullah telah berjanji dengan Gabernor baru (Sir Andrew Clarke) bahawa beliau sanggup menerima seorang Residen atau Pegawai British jika sekiranya British dapat membantunya menaiki takhta. 

Maka Perjanjian Pangkor ditandatangani pada bulan Januari 1874. Kekacauan di Larut tamat. Pihak British mulai menyusun kembali pentadbiran Larut. Tugas itu diserahkan kepada Kapten Speedy yang dilantik sebagai Penolong Residen. Residen British yang pertama J.W.W. Birch memilih Bandar Baru, di Hilir Perak, sebagai pusat pentadbiran. Dengan menyusun kembali pentadbiran di Larut, pihak British telah juga memberikan nama baru kepada Kelian Pauh - TAIPING, yang bererti 'Kedamaian Luhur' bersempena dengan tamatnya kekacauan di Larut.
------------------------------------





Menjadi Ibu kota 
Perjanjian Pangkor sebenarnya tidak mendatangkan kedamaian yang berpanjangan. Birch menghadapi masalah dalam menjalankan pentadbiran kerana Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar enggan menyerahkan kuasa masing-masing kepada Residen British itu. Pada bulan November 1875, Birch terbunuh di Pasir Salak, Hilir Perak. British menggunakan senjata api untuk mematahkan tentangan terhadap pentadbirannya. Pada 1876, kedudukan British di Perak mulai kukuh. Pembesar-pembesar yang menentang British, termasuk Ngah Ibrahim, telah kehilangan kuasa. Buat sementara waktu, Birch diganti oleh J.G. Davidson, Residen pertama di Selangor. Pada 1877, Hugh Low telah dilantik sebagai Residen Perak. 

Taiping tidak terlibat di dalam. kekacauan menentang pentadbiran British. Sejak tamatnya Perang Larut, kegiatan ekonomi di Larut berkembang kembali. Maka setelah pembunuhan Birch, Taiping pula yang dipilih sebagai pusat pentadbiran, iaitu ibu kota Negeri Perak. Kapten Speedy, Penolong Residen, di pindah pula ke Hilir Perak, 

Pada pertengahan 1870-an, Taiping muncul sebagai sebuah bandar yang semakin sibuk. Di dalam bandar itu terdapat se batang jalan lebih kurang setengah batu panjangnya dengan beberapa pasar dan kedai yang besar, Seperti di penempatan-penempatan lain di mana ramai orang Cina telah menetap, rumah-rumah khas untuk main judi disediakan. Oleh kerana penduduk Cina di Taiping terdiri daripada beberapa suku maka setiap golongan mempunyai dewan mesyuaratnya masing-masing. 

Pentadbiran British telah juga menyediakan bangunan-bangunan untuk berbagai tujuan: Pejabat Bendahari, tangsi untuk pasukan polis (terdiri daripada orang Punjabi), rumah sakit, gudang senjata, stor, penjara dan banglo untuk pegawai British. 

Jumlah penduduk Taiping waktu itu dalam lingkungan 6,000 orang, sebilangan besarnya terdiri daripada orang Cina. Terdapat juga sekumpulan kecil orang India yang membuka kedai atau memberi pinjaman wang (kaum Cetiar). Orang India lain bekerja sebagai pemandu kenderaan (kuda atau lembu) dan pembasuh kain. Menurut seorang wanita Inggeris (Isabella Bird) yang telah melawat Taiping waktu itu, pada siang hari, bandar Taiping sunyi senyap sahaja kerana sebilangan besar penduduknya bekerja di lombong. Dengan kembalinya mereka ke bandar waktu senja maka gegak-gempita menelan bandar itu dan yang kedengaran ialah leter-leter dalam bahasa Cina. 

Pembangunan di Taiping berjalan dengan agak pesat kerana pada tahun 1883 telah ada bangunan-bangunan baru yang digunakan sebagai mahkamah dan pejabat. Bandar itu juga mempunyai sebuah bilik bacaan dan perpustakaan. Bekalan air telahpun disiapkan dan penduduk-penduduk yang tinggal di dalam bandar dapat menggunakan air yang bersih. 

Sistem pengangkutan dan perhubungan dimajukan. Pembinaan jalan raya untuk menghubungkan Taiping dengan Parit Buntar hampir selesai pada tahun 1883. Di sepanjang jalan baru ini kawat telegraf akan diadakan untuk rnenghubungkan Taiping dengan Pulau Pinang. Pembinaan jalan keretapi di antara Taiping dengan Port Weld (dahulu Kuala Sepetang) telahpun dimulakan dan telah ada rancangan untuk melanjutkan jalan keretapi itu ke Parit Buntar. 

Keretapi buat kali pertama membawa penumpang dari Port Weld ke Taiping pada 12 Februari 1885. Port Weld pada masa itu adalah sebuah pelabuhan yang sangat sibuk kerana segala import dan eksport di antara Taiping dengan Pulau Pinang disalurkan melalui pelabuhan itu. Ulu Perak dan Kinta juga bergantung kepada Port Weld walaupun Kinta juga menggunakan pelabuhan Teluk Anson. Pada tahun 1888, kemudahan di Port Weld didapati tidak memuaskan lagi kerana jumlah eksport dan import telah bertambah maka pada tahun 1891 suatu dermaga terapung telah dibina untuk memperluaskan pelabuhan di Port Weld. Sementara itu jalan keretapi dilanjutkan ke bandar Kemunting. 

Sepanjang 1880-an pembangunan di bandar Taiping berjalan terus. Beberapa bangunan kerajaan didirikan lagi termasuk sebuah Pejabat Telegraf. Taiping pada dewasa itu mempunyai beberapa hospital; yang paling besarnya ialah Hospital Yang Wah khas untuk orang miskin. Hospital itu diketuai oleh Dr. Wright dan mempunyai tempat untuk 900 orang pesakit; ia adalah di bawah urusan kaum Cina.

Taiping juga mendahului bandar-bandar lain dalam bidang pelajaran Inggeris. Sekolah Inggeris yang pertama di negeri-negeri Melayu telah dibuka di Kemunting oleh Hugh Low pada tahun 1878. 

Murid-murid sekolah itu terdiri daripada anak-anak tuan punya lombong, anak-anak pekerja lombong dan, apabila perkhidmatan keretapi telah bermula, beberapa orang anak jurutera Eropah yang berkhidmat dengan keretapi. Pada tahun 1883 telah dibuka sebuah sekolah lagi, iaitu di bandar Taiping. Sekolah Pusat (Central School) ini kemudian berkembang dengan amat pesat. Di antara 1900-1922, Pengetuannya ialah Roger Francis Stainer, B.A. (London). Dalam masa itulah bangunan sekolah yang lama didapati tidak mencukupi lagi. Pada tahun 1905, sekolah itu berpindah ke bangunan baru dan dengan itu telah diubah namanya kepada Sekolah King Edward VIl bersempena pertabalan Raja England pada 1901. Sekolah itu bukan hanya terkemuka di dalam bidang pelajaran tetapi berbagai jenis sukan, seperti bola sepak, olahraga dan ragbi yang memang mula-mula sekali diperkenalkan kepada pemuda-pemuda tempatan di sekolah itu. 

Sekolah Inggeris untuk murid-murid perempuan juga muncul di Taiping pada masa yang lebih awal daripada di tempat-tempat lain. Pada tahun 1889 Kerajaan Perak menubuhkan sebuah sekolah perempuan. Pada tahun 1899, pengurusan sekolah itu diserahkan kepada Methodist Episcopal Mission dan pada tahun 1902 sekolah itu diberi nama baru Treacher GirIs' School, Nama baru itu adalah untuk mengenangkan jasa Puan Treacher kepada sekolah itu, (William Treacher pada waktu itu ialah Residen Perak). 

Sebuah lagi sekolah Inggeris perempuan yang diasaskan pada penghujung kurun ke-19 ialah Convent, Taiping. Pada tahun 1899, tiga orang Sisters telah dihantar dari Convent Pulau Pinang ke Taiping bagi membuka sebuah sekolah Inggeris untuk murid-murid perempuan. Mubaligh Katholik telah juga cuba mengembangkan pelajaran Inggeris untuk kanak-kanak lelaki. Pada penghujung abad ke-19 pernah didirikan sebuah Sekolah Anglo Tamil, kemudian sebuah Sekolah St. Michael tetapi kedua-duanya tidak berkekalan. Pada tahun 1915 ditubuhkan St. George's Institution. Pada zaman Jepun bangunannya digunakan sebagai Nippon-Gakko, Markas Kempetai (Polis Militer) serta Hotel Pegawai Jepun. 

Walaupun dalam abad ke-20 dengan beransur-ansur sekolah-sekolah Inggeris di lpoh telah mengungguli sekolah Inggeris di Taiping, sehingga akhir kurun ke-19 tidak dapat disangkal Taiping sebagai ibu kota, dianggap sebagai pusat kegiatan intelektual. Misalnya, akhbar Inggeris yang pertama di negeri-negeri Melayu diterbitkan di Taiping pada 4 Julai 1894. Akhbar itu yang diberi nama Perak Pioneer (naskhah-naskhahnya masih tersimpan di Muzium Taiping) diusahakan oleh Syed Abul Hassan ibnay Burhan. 

Akhbar itu menerbitkan berita dan mengeluarkan pendapatnya dengan berani dan selama suatu masa yang agak berpanjangan dianggap sebagai akhbar yang berwibawa di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Melalui pejabat S.A.H. Burhan juga akhbar Tamil yang pertama di Malaysia, Perak Varthamanan, telah diterbitkan sama ada pada penghujung abad ke-19 atau awal kurun ke-20. 

Penerbit yang sama, pada tahun 1893, mengeluarkan akhbar Melayu Seri Perak dan dipercayai bahawa Haji Abdul Kadir bin Setia Raja menjadi pengarangnya. Pada tahun 1896 dikeluarkan pula sebuah akhbar lain iaitu fajahan Melayu mula-mula dengan Mohd. Omar bin Haji Bakar sebagai pengarang, kemudian Ghulam Kadar yang telah diganti pula oleh S.A.H. Burhan sendiri. 

Ada beberapa sebab yang menjadikan Taiping, sehingga lebih kurang akhir kurun ke-19, sebagai bandar utama di negeri-negeri Melayu. Yang pertama, sebagai pusat perlombongan dan pentadbiran, pembangunan lebih awal berlaku di Taiping berbanding, misalnya, dengan Kuala Lumpur. Yang kedua, permulaan perkhidmatan keretapi menjadikan Taiping tumpuan orang asing baru terutarna yang bekerja dengan keretapi, umpamanya orang Selon dan Eropah. Yang ketiga, sebagai pusat pentadbiran yang terpenting, pegawai­pegawai Inggeris yang lebih kanan ditempatkan di Taiping. Oleh yang demikian, di Taiping juga telah dimulakan buat kali pertama beberapa pertubuhan sukarela untuk beberapa golongan etnik, seperti Persatuan India dan Persatuan Selon.


--------------------------------------------------------------------------------
Masyarakatnya 
Seperti disebutkan tadi, sesudah tamatnya Perang Larut dan bandar Taiping mulai berkembang, sebilangan besar penduduknya terdiri daripada orang Cina. Orang India telah juga tiba walaupun bilangannya masih kecil. Tetapi selain daripada orang India Selatan, orang Punjabi juga bertambah ramai di Taiping. Mereka berkhidmat dengan pasukan polis. 

Orang Punjabi dan juga Pathan, sebagai anggota angkatan bersenjata, mula-mula sekali dibawa oleh Kapten Tristram Speedy waktu beliau tiba di Pulau Pinang pada 1873 dan seterusnya berkhidmat dengan pentadbiran British di Negeri-negeri Selat. Menjelang Perjanjian Pangkor, Speedy telah meletakkan jawatannya di Pulau Pinang untuk berkhidmat dengan Ngah Ibrahim. Sesudah Perjanjian Pangkor ditandatangani, Speedy dilantik sebagai Penolong Residen dan diberi tugas menubuhkan pasukan polis. Selain daripada orang Punjabi dan Pathan yang dibawanya, orang Melayu juga diambil untuk menambahkan bilangan pasukan polis. Waktu itu pentadbiran British di Perak, Selangor dan Sungai Ujong belum lagi bebas daripada pentadbiran Negeri-negeri Selat. 

Hanya pada awal 1875 langkah diambil untuk menubuhkan pasukan polis di Perak yang diasingkan daripada perkhidmatan polis di Negeri-negeri Selat. Tetapi sebelum rancangan itu berhasil, Birch terbunuh. Semasa LG. Davidson menjadi Residen Perak, rancangan itu dihidupkan kembali. Orang Punjabi dan Pathan yang dibawa oleh Speedy akan menjadi bahagian induk pasukan polis Perak, tetapi pegawai-pegawai kanan Inggeris di Negeri-negeri Selat tidak mahu mengekalkan Speedy dalam perkhidmatan pentadbiran. Setelah beliau dipindah ke Hilir Perak, tidak lama kemudian (pada lewat tahun 1877) beliaupun meletakkan jawatan. 

Penubuhan pasukan polis Perak bermula secara rasmi dengan tibanya Paul Swinburne. Sebilangan besar pasukan polis itu terdiri daripada orang Punjabi dan Pathan juga. Markas mereka di Taiping. Pada tahun 1879 Swinburne bercuti dan Lt. R.S.F. Walker menjadi pemangku ketua pasukan polis Perak. Pasukan polis itu telah mendapat ujian pada Oktober 1879 apabila kongsi gelap sekali lagi terlibat dalam rusuhan. Tetapi kali ini pasukan polis yang terlatih dapat mengawal keadaan dan selanjutnya kekacauan tidak lagi berlaku di Taiping. 

Swinburne bersara pada tahun 1882 dan diganti olch R.S.F. Walker. Pada tahun 1896, Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan disatukan sebagai sebuah Persekutuan. Pada masa itu sepasukan askar yang dikenali sebagai Malay States Guides telah ditubuhkan. Markasnya di Taiping juga. Angkatan sepai ini diwujudkan untuk mempertahankan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan boleh juga, jika sekiranya perlu, digunakan untuk mempertahankan Negeri­negeri Selat. Ketua Malay States Guides ialah R.S.F. Walker dan sebilangan besar rejimen ini terdiri daripada orang Punjabi (kasta Jat atau peladang). Terdapat juga satu kompeni yang terdiri daripada orang Punjabi beragama Islam serta orang Pathan. Pada tahun 1915, sebahagian sepai dalam Malay States Guides dihantar ke Aden di mana mereka berada selama 4 tahun. Dengan tamatnya Perang Dunia I, Malay States Guides telah dibubarkan. 

Sehingga penghujung abad ke-19, Taiping bukan hanya menjadi tumpuan orang Punjabi di Tanah Melayu, ia juga menjadi tumpuan orang Selon di negara ini. Mereka mulai tiba pada 1880-an untuk (a) bekerja dengan keretapi, (b) berkhidmat dengan pentadbiran British sebagai kerani. Keretapi di Larut yang menghubungkan Port Weld dengan Taiping, sepanjang 8 batu, memang dibina oleh orang Selon. Akibat permintaan daripada pihak British di Negeri-negeri Selat, pentadbiran British di Selon telah menghantar dua kumpulan pekerja berpengalaman yang dikenali sebagai Ceylon Pioneer Corps ke Larut. Jalan keretapi Port Weld-Taiping dapat dibina dalam lebih kurang satu tahun. 

Adalah menjadi kebiasaan untuk orang yang mempunyai asal usul yang sama Untuk berkumpul dan memformalisasikan hubungan mereka supaya dalam keadaan tertentu mereka dapat sama-sama bergerak atau bertindak dan pada masa-masa lain, (misalnya perkahwinan dan perkebumian) mereka dapat saling bantu membantu. Persatuan Selon yang pertama di negara ini ditubuhkan di Taiping pada tahun 1899. Kemudian orang Punjabi pula yang menubuhkan persatuannya pada tahun 1903 yang diberi nama Khalsa Diwan Malaya. Tetapi, tidak seperti Persatuan Selon yang wujud untuk orang Selon di Taiping, Khalsa Diwan Malaya adalah untuk semua Punjabi (beragama Sikh) di Tanah Melayu atau, dalam lain perkataan, ia merupakan pertubuhan Sikh yang utama di Tanah Melayu. Selanjutnya orang India pula yang menubuhkan persatuan India yang pertama di Tanah Melayu. Persatuan India yang bertempat di Taiping itu muncul pada tahun 1906. 

Tetapi Taiping telah mulai kehilangan kepentingannya menjelang kurun ke-20. Pengeluaran Bijih timah telah merosot pada 1890-an; di samping itu pula terjumpa banyak bijih timah di kawasan Kinta. Orang Cinapun berhijrah ke lpoh. Bila Ipoh menjadi semakin penting sebagai pusat perlombongan bijih timah, jalan keretapi telah dibina untuk menghubungkan pelabuhan Teluk Anson (sekarang Teluk Intan) dengan lpoh. 

Di kawasan Larut, pada awal kurun ke-20, tinggal sebuah sahaja syarikat perlombongan yang agak terkemuka iaitu Kamunting Mine kepunyaan Ng Boo Bee. Beliau berasal dari Wilayah Hokkien dan hanya datang ke Tanah Melayu lebih kurang pada tahun 1880. Beliau pernah menceburkan diri dalam berbagai perniagaan di lpoh dan Teluk Anson di samping Taiping. Hanya waktu beliau menjadi kontraktor keretapi di Taiping, beliau berjaya memperolehi tanah untuk mengerjakan bijih timah. Ng Boo Bee kemudian menjadi dermawan yang sangat terkenal di Taiping. 

Walaupun Taiping kehilangan kedudukannya sebagai pusat perlombongan, perubahan baru yang berlaku pada awal kurun ke­20 memberi faedah juga kepada bandar itu. Getah dewasa itu telah mulai muncul sebagai perusahaan utama Tanah Melayu. Di sekitar Taiping telah dibuka beberapa ladang getah. Terletak 6 batu dari Taiping dan berhampiran dengan stesen keretapi Simpang ialah Jebong Estate yang sangat maju. Pejabat berdaftarnya adalah di Colombo, Selon. Tidak jauh dari ladang ini dan berdekatan juga dengan Matang ialah Matang Jamboe Estate kepunyaan Frederick H.E. Sperling yang telah membuka ladang itu pada tahun 1898. 16 kilometer dari Taiping dan 7 kilometer dari stesen keretapi Simpang ialah Selinsing Estate yang pada asalnya kepunyaan W.F. Dew, G. Graham Clarke dan C.L Bayley; pada tahun 1907 estate itu dibeli oleh Selinsing Rubber Company yang juga mempunyai pejabat berdaftar di Colombo. Di Kamunting juga telah dibuka Kamuning Estate, pemilik ladang ini ialah Guthrie & Co. 

Getah dan kenyataan bahawa Taiping tetap menjadi ibu kota Perak adalah dua faktor yang menjamin supaya Taiping tidak merosot sama sekali. Terutama sekali pegawai-pegawai kerajaan yang terkanan di Perak kesemuanya berada di Taiping dan kemunculan ladang-ladang getah telah juga menambahkan bilangan orang Barat di Taiping atau sekurang-kurangnya peladang-peladang Eropah bergantung kepada Taiping untuk bekalan dan kegiatan sosial. 

Sejak 1880-an lagi, masyarakat Taiping memang memperlihatkan perbezaan kelas yang ternyata. Di atas sekali ialah pegawai-pegawai Barat; di bawah sekali ialah mereka yang terlibat di dalam pekerjaan sebagai buruh kasar. Di tengah-tengah berdiri dua golongan orang tempatan: yang berada (berpelajaran Inggeris serta bukan berpelajaran Inggeris) dan yang berkhidmat dengan kerajaan rnemegang jawatan-jawatan yang lebih rendah. 

Masyarakat Barat sangat cerewet tentang status. Mereka mempunyai beberapa persatuan yang tidak terbuka kepada orang bukan Eropah seperti Perak Club (ditubuhkan pada tahun 1880), New Club (ditubuhkan pada tahun 1894), Perak Golf Club (ditubuhkan pada tahun 1894) dan Taiping Swimming Club (ditubuhkan pada tahun 1914). New Club sebenarnya ditubuhkan kerana ada ahli-ahli Perak Club yang merasa kurang puas hati tentang penerimaan Serani dan pegawai tentera yang bukan daripada keluarga baik-baik sebagai ahlinya. Maka New Club dianggap sebagai institusi sosial yang utama di Perak waktu itu. 

Jelas bahawa keadaan di Taiping adalah sama seperti mana yang wujud di tiap-tiap bandar di Tanah Melayu iaitu setiap golongan etnik mempunyai persatuannya yang tersendiri dan terdapat juga masjid, kuil Hindu, tempat berhala orang Cina dan gereja yang memperlihatkan adanya berbagai agama yang dianuti oleh berbagai golongan etnik itu. Telah diasaskan juga, di samping sekolah-sekolah Inggeris, sekolah-sekolah vernakular iaitu Melayu, Cina dan India. Institusi-institusi itu yang menampung kepentingan satu-satu golongan etnik menimbulkan keadaan berpecah-belah kerana pembahagian adalah tajam di kalangan penduduk. Hanya di kalangan orang tempatan yang berpelajaran Inggeris sahaja terdapat hubungan sosial yang melintasi garis-garis etnik. Terutama sekali murid-murid yang belajar di sekolah Inggeris terlibat di dalam alam sekitar budaya yang lebih luas - mereka berganding bahu di bilik darjah dan di padang sukan; mereka juga dapat berkomunikasi dalam bahasa yang sama-sama diketahuinya iaitu bahasa Inggeris. Dan setelah mereka keluar dari sekolah kebanyakannya berkhidmat dengan kerajaan maka di pejabat kerajaan mereka tetap bergaul dan berkomunikasi. Selanjutnya mereka sama-sama menganggotai beberapa persatuan seperti Kempe Club (salah sebuah kelab separuh kerajaan yang terbesar di Perak Utara) dan Perak Postal Athletic Club yang terbuka hanya kepada kakitangan JabatanPos dan Telegrap, Taiping. Di samping itu terdapat juga Edwardian Old Boys' Association serta Old Georgian Association di mana wujud hubungan sosial pada dasar yang lebih luas. Namun demikian hubungan sosial yang terjalin di dalam alam sekitar kelab riadah dan sukan tidaklah begitu mendalam. Bahkan di antara, misalnya, orang Cina berpelajaran Inggeris dengan mereka yang bukan berpelajaran Inggerispun wujud jurang yang ternyata tetapi tidaklah begitu luas berbanding dengan pembahagian yang wujud di antara satu golongan etnik dengan yang lain. 

Perpecahan yang paling jelas ternampak ialah haluan politik masing-masing. Orang Cina, misalnya, sejak masa berlakunya revolusi di negeri China (menentang kerajaan Mancu) lagi amat terlibat di dalam pergolakan politik di negara ibunda mereka. Dalam akhbar Perak Pioneer (3 November 1911) ada laporan bahawa ramai orang Cina yang berpelajaran Inggeris telah berkumpul di stesen keretapi Taiping untuk mengucapkan selamat jalan kepada beberapa orang sahabat mereka yang dalam perjalanan ke negeri China guna melibatkan diri dalam revolusi di sana. Kemudian apabila berita diterima bahawa kerajaan Mancu telah dapat digulingkan anggota-anggota Taiping Reform Club (pertubuhan yang mempunyai matlamat mengislahkan negeri China) telah mengadakan perayaan di mana taucang (simbol kerajaan Mancu) telah dipotong. Pada 10 Oktober 1912, iaitu ulang tahun kejayaan revolusi 1911, telah diadakan perarakan tanglung sebagai tanda kegembiraan. Pada tahun 1937, waktu negeri China berperang dengan negeri Jepun, orang Cina di Taiping menyumbangkan wang untuk membantu Kuomintang (parti yang berkuasa di negeri China) mempertahankan negeri China; barang­barang Jepun yang setakat itu dijual di Taiping dipulaukan dan ada orang membaling batu terhadap kedai Tong Fong kerana menjual barang-barang Jepun. 

Di kalangan orang India-Selon pula, satu peristiwa yang dianggap bersejarah ialah lawatan Pandit Nehru ke Taiping pada pertengahan tahun 1937. Pada masa itu Nehru sedang dalam kunjungannya ke Burma dan Tanah Melayu. Nehru sendiri merasa kagum kerana ketibaannya di kedua-dua negara itu diterima dengan penuh perasaan kebangsaan oleh penduduk India. Di Taiping, orang India dan Selon berebut-rebut untuk melihat wajahnya sehingga beliau sendiri terpaksa berdiri di atas meja untuk meminta para hadirin supaya berdisiplin. 

Di Taiping juga, menjelang Perang Dunia I, sepai dalam Malay States Guides hampir memberontak, terutamanya bahagian yang terdiri daripada orang Punjabi Islam dan Pathan. Dalam Perang Dunia I, negeri Turki berpihak pada negeri German; musuh Turki termasuklah Britain. Bagi orang Islam, terutamanya di India, dewasa itu, negeri Turki masih dianggap sebagai Khalifah negara-negara Islam. Tetapi satu bahagian lain Malay States Guides bersama-sama dengan sepai dari rejimen lain cuba merampas kuasa di Singapura pada 1915. Pada masa 1914-1915, walaupun kekacauan akhirnya tidak berlaku, keadaan di Taiping adalah tegang. 

Kesedaran politik juga ternampak di kalangan masyarakat Melayu. Bilangan orang Melayu di bandar Taiping tidaklah ramai. Mengikut Banci tahun 1921, bilangan penduduk di Taiping bagi satu­satu golongan etnik adalah seperti yang berikut: 

Golongan Etnik Bilangan 
Eropah 285 
Serani 232 
Melayu 1,839 
Cina 12,193 
India 6,349 
Lain-lain 213 

Kebanyakan orang Melayu menetap di luar sempadan bandar Taiping­misalnya, di Bukit Gantang, Matang, Selama dan Batu Kurau. 

Tetapi kawasan Larut itu boleh dianggap sebagai pusat intelektual untuk orang Melayu kerana pada tahun 1898 telah dimulakan sebuah maktab perguruan di Taiping untuk melatih guru-guru sekolah Melayu. Maktab ini berjalan selama dua tahun dan dalam masa itu telah melatih 10 orang guru. Pada tahun 1900 maktab itu telah di tutup kerana telah diasaskan Maktab Melayu Melaka untuk melatih bakal guru-guru dari Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu. Maktab di Taiping itu di bawah kelolaan Shaikh Nasir, seorang Guru Pelawat yang telah berumur. Seorang guru penolong Melayu juga berkhidmat di maktab itu dan Nazir Sekolah-sekolah di Taiping ditugaskan mengawasi perjalanan maktab itu sebanyak mungkin. 

Maktab itu, kerana wujud hanya dalam suatu jangka masa yang singkat, mungkin kurang memberi kesan kepada masyarakat Melayu di Taiping. Pada 11 Oktober 1913, sebuah maktab perguruan baru telah dibuka di Larut. Maktab itu terletak di Matang tetapi ia tidak menggunakan bangunan yang didirikan khas untuknya. Maktab baru itu terletak di kediaman keluarga Ngah Ibrahim. Rumah Ngah Ibrahim sebenarnya terletak di dalam kubu. la juga digunakan oleh Ngah Ibrahim sebagai tempat mengutip cukai bijih timah. Dipercayai rumah itu siap dibina pada tahun 1858, iaitu selepas keluarga Long Jaafar berpindah dari rumahnya di Bukit Gantang. 

Pada tahun 1876, rumah itu digunakan sebagai tempat perbicaraan beberapa orang pembesar Melayu Perak yang terlibat di dalam pembunuhan Birch seperti Dato' Sa'gor, Maharaja Lela, Pandak Endut dan lain-lain lagi. Perbicaraan ini berjalan daripada 14 hingga 22 Disember 1876. Ngah Ibrahim sendiri, bersama-sama dengan Sultan Abdullah, telah diasingkan ke Pulau Seychelles pada tahun 1877. Rumah itupun telah diambil alih oleh kerajaan Perak. 

Pengetua pertama Maktab Perguruan di Matang itu ialah A. Keir (1913-1920) yang kemudian dilantik sebagai Nazir Sekolah­sekolah Perak dan selanjutnya Pemangku Pengarah Pelajaran. Di antara guru-guru maktab itu ialah Muhammad bin Datuk Muda Linggi, bapa saudara pada Za'ba. Muharnmad bin Datuk Muda Linggi adalah kelulusan Maktab Melayu Melaka. Beliau telah mengajar di Sekolah Kuala Pilah, Sekolah Johol dan Sekolah Repoh, Tampin dan, di samping itu menolong kerja-kerja di Pejabat Pelajaran Negeri Sembilan, sebelum di pindah ke Matang. Sehingga 1918, beliau menjadi guru di Matang kemudian dilantik menjadi Guru Pelawat di dalam 'kelas istimewa'. Daripada 1924 hingga 1932 beliau adalah pengarang Majalah Guru bahkan pernah disebutkan bahawa "Cikgu inilah pengarang, cikgu inilah pengurus dan cikgu inilah juga kerani mengirim dan sebagainya; lain pula kalanya di press, tidak berkertas, mesin rosak dan komputer lain semuanya itu dapat diselamatkan dengan sehabis-habis ikhtiar." (Majlis, 9.8.34). Beliau juga seorang penulis yang terkenal pada zamannya. Majalah Guru waktu itu diterbitkan di Seremban. Di Negeri Sembilan beliau sangat giat di dalam Persatuan Guru-guru Negeri Sembilan serta Persidangan Belia Negeri Sembilan. Tetapi setakat ini belumlah jelas bagaimanakah pengaruhnya ke atas masyarakat Melayu di kawasan Larut. 

Yang lebih banyak diketahui ialah tentang Pemangku Pengetua (dua kali) maktab itu Abdul Majid bin Haji Zainuddin. Abdul Majid telah merakamkan pengalamannya di Matang dalam autobiographynya (dalam Bahasa Inggeris) yang diberi jodol: The Wandering Thoughts of a Dying Man (diterbitkan pada tahun 1978). Pada masa beliau berada di Matang, Abdul Majid juga rapat dengan Za'ba yang pada awal 1920-an mengajar di Maktab Melayu, Kuala Kangsar. Mereka berdua bersama-sama dengan Mohd. Zin bin Haji Ayub (kemudian menantu Abdul Majid) sangat berminat tentang gerakan Pan-Islam; mereka melanggan majalah-majalah Islam yang diharamkan oleh pihak pemerintah. 

Dua majalah yang dilanggan mereka ialah Islamic Review dan Muslim India kedua-duanya dikelolakan oleh Khwaja Kainaluddin yang berasal dari Lahore. Khwaja Kamaluddin adalah seorang yang terpelajar dan pernah menjadi Professor Sejarah dan Ekonomi di Islamia College, Lahore. Beliau juga pernah menjadi peguam. Kemudian beliau telah meninggalkan bidang kesarjanaan dan kepeguaman kerana terpengaruh oleh ajaran Mirza Ghulam Ahmad dari Qadian untuk bergiat mengembangkan ajaran Islam. Kegiatan dakwah ini beliau jalankan di England di mana beliau juga menjadi Imam Masjid Woking (Surrey). 

Walaupun terpengarah oleh ajaran Mirza Ghulam Ahmad, Khwaja Karnaluddin kemudian tidak mendukung faham yang diasaskan oleh pengikut Mirza Ghulam Ahmad iaitu Parti Qadian kerana parti itu menganggap Mirza Ghulam sebagai nabi. Khwaja Kamaluddin termasuk dalam golongan yang dikenali sebagai Parti Lahore yang menerima Mirza Ghulam. Ahmad sebagai mujaddid dan bukan nabi. Pada 1921 Khwaja Kamaluddin telah melawat ke Singapura dan Tanah Melayu. Berikutan daripada itu ialah ditubuhkan Anjuman-i­Islam yang ahli-ahlinya terdiri daripada orang Islam di Singapura dan Tanah Melayu; pertubuhan itu mula menerbitkan majalah The Muslim pada Januari 1922. Parti Qadian dianggap pro-British dan sikap ini dikritik oleh Parti Lahore. 

Setelah melawat Singapura, Khwaja Kamaluddin telah meneruskan kunjungannya ke negeri-negeri Melayu. Beliau bertolak dari Singapura pada 29 Mac 1921 bersama dengan Hakim Abdul Baksh (Hafiz) ke Taiping. Beliau singgah di Kuala Kangsar sebelum pergi ke Taiping di mana beliau disambut oleh Abdul Majid Zainuddin, Dr. Mohd. Ghaus, Syed Abu al-Hasan, Nawabuddin dan Amir Bad Shah. Pada 30 Mac 1921, selepas waktu Maghrib, beliau memberi syarahan mengenai "Keluasaan Pengajaran pengajaran dan Amalan­amalan dalam Islarn" di Dewan Bandaran Taiping. Pada 31 Mac 1921, Khwaja Kamaluddin bersama Abdul Majid, Dr. Ghaus dan Nawabuddin telah pergi ke rumah Za'ba di Kuala Kangsar dan makan tengah hari di situ. Khwaja Kamaluddin tinggal di Taiping sehingga 2 April 1921 dan meneruskan lawatannya ke Pulau Pinang. 

Walaupun, selain daripada lawatan Khwaja Karnaluddin ke Taiping, tiada maklumat lain yang menunjukkan sejauh mana orang Melayu di Taiping terlibat di dalam kegiatan yang bersifat reformasi Islam atau faham kebangsaan dalam 1920-an dan awal 1930-an, satu peristiwa yang berlaku pada pertengahan 1930-an mempunyai pengertian yang agak besarnya. Pada awal tahun 1934 melalui ruangan akhbar Saudara dicadangkan supaya diadakan semacam satu kelab surat-menyurat yang akan diberi nama 'Sahabat Pena'. Pada permulaannya tujuan para penganjur ialah supaya diadakan suatu cara untuk orang muda bertukar-tukar fikiran dan di samping itu memupuk kemajuan persuratan. Kemudian orang dewasa mulai memainkan peranan penting dalam Sahabat Pena. Akibatnya dibuat keputusan untuk mengadakan satu persidangan kebangsaan. 

Pada 11 November 1934, persidangan pertama Sahabat Pena telah diadakan di Sunlight Muslim Association, Taiping. la sebenar­nya merupakan perjumpaan pertama peringkat seluruh Tanah Melayu bagi orang Melayu dan dihadiri oleh tokoh-tokoh Kaum Muda yang terkenal seperti Syed Alwi bin Syed Sheikh al-Hadi, Zainal Abidin bin Sutan Maidin dan Sheikh Abdullah al-Maghribi. Pada Mei 1935 Sahabat Pena mempunyai lebih daripada 1,000 orang ahlinya. Pada Jun 1935 Syed Alwi sekah lagi melawat Taiping, kali ini untuk berkempen menambahkan ahli Sahabat Pena. Tidak begitu jelas mengapa Taiping dipilih untuk persidangan yang pertama itu dan agak jelas bahawa selanjutnya Taiping bukanlah pejabat pusat untuk Sahabat Pena. Tetapi pada lewat 1930-an ada individu-individu dari Taiping yang terlibat dalam kegiatan politik. 

Mungkin yang lebih terkemuka ialah Wan Mohd. Noor dan Ali bin Haji Hussain. Mereka berdua itu adalah di antara pengasas Persatuan Melayu Perak yang ditubuhkan pada tahun 1937 dan bertempat di lpoh. Persatuan itu merupakan persatuan negeri Melayu pertama yang diwujudkan di Semenanjung Tanah Melayu. Wan Mohd. Noor berasal dari keluarga Ngah Ibrahim dan pada tahun 1937 berkhidmat dengan Pejabat Kesihatan. Ali bin Haji Hussain pada masa itu memegang jawatan Pembantu Pegawai Kehutanan. Persatuan itu memberi perhatian kepada kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu tetapi telah mengubah haluannya selepas tahun 1938 kerana Wan Mohd. Noor dan Ali bin Haji Hussain telah dipindah ke tempat lain. 

Ali bin Haji Hussain ialah saudara pada Mustapha bin Haji Hussain yang terkenal sebagai salah seorang pemimpin Kesatuan Melayu Muda. Tetapi Mustapha bin Haji Hussain terlibat di dalam pertubuhan politik semasa beliau mengajar di Sekolah Pertanian Serdang dan bukan di Taiping. Beliau dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Kesatuan Melayu Muda yang diketuai oleh Ibrahim Yaacob. Kesatuan itu ditubuhkan pada tahun 1938 dan merupakan parti politik kebangsaan Melayu yang pertama. 

Di Perak, Kesatuan Melayu Muda menubuhkan cawangan pertamanya di Taiping pada akhir tahun 1938. Dipercayai penubuhan K.M.M. Perak berlaku di kediaman Pachik bin Ahmad iaitu No. 126, Lorong Dua, Jalan Stephens, Kampung Boyan. Perjumpaan pertama itu dihadiri oleh 8 orang dan dianjurkan oleh Pachik Ahmad sendiri dan Mohd. Hanafiah Abdul Rahman. Pachik Ahmad berasal dari Pulau Pinang dan mendapat pendidikan di Madrasah Masyhor Al­Islamiah, Mohd. Hanafiah adalah orang Taiping dan pernah menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Adalah difahamkan bahawa mereka berdua itu mula berkenalan waktu melibatkan diri dalam Sahabat Pena, Mohd. Hanafiah sebagai Setiausaha Agung dan Pachik Ahmad sebagai Naib Pengerusi. Ibrahim Yaacob sendiri telah datang ke Taiping untuk memberi penjelasan kepada Pachik Ahmad dan rakan-rakannya tentang perjuangan K.M.M. Dari Taiping pengaruh K.M.M. merebak ke kawasan-kawasan lain di Perak terutamanya di Maahad II Ihya Assyariff Gunung Semanggol kerana Pengetua Maahad itu, Abu Bakar al-Baqir, adalah di antara ahli jawatankuasa cawangan K.M.M. di Taiping. Ibrahim kemudian kembali ke Taiping pada pertengahan 1945 untuk berunding dengan pihak Jepun tentang kemungkinan Tanah Melayu diberikan kemerdekaan bersama-sama dengan Indonesia. Bersabit dengan perkara ini satu pertemuan di antara pemimpin Indonesia dengan Ibrahim Yaacob telah berlangsung di Taiping pada 12 Ogos 1945. Dua orang pemimpin Indonesia yang datang ke Taiping ialah Sukarno dan Mohd. Hatta. Mereka singgah di sana dalam perjalanan balik ke Indonesia setelah melawat Saigon. 


--------------------------------------------------------------------------------
Situated about 60 km from Tapah off KL-Ipoh road. Cameron Highland stand at 1500m and the weather is pleasantly cool. The cool, frost free climate is also an ideal and excellent condition for the cultivation of tea. Tea cultivated on Cameron Highlands is among some of the best tea found in the country. First discovered in 1885 by a British surveyor William Cameron, the fame of Cameron Highlands grew during the colonial era when British Planters realised the potential of its fertile mountain slopes for growing tea, then a prized commodity among the colonies. 

Families of these Britishers stationed in Malaya at the time also took to hills in a respite from the hot, humid tin mines and rubber plantations. Some of the bungalows left behind are still being preserved for viewing by tourist, with a few facilities added for the conveniences of visitors. Since then, Cameron Highlands, with its cool temperate surroundings has developed into a favoured getaway among honeymooning couples as the beauty and tranquility of this captivating plateau has cast its spell of enchantment over locals and visitors alike. 

Jungle walks are the thing to do here; hotels in Tanah rata will supply map of the main walks. Most of them you can stroll in an hour or two.

Getting There :You can get to Cameron Highlands by road from Kuala Lumpur, Penang, or Singapore via the north-south highway. If you depart ex-Kuantan, you will have to travel towards Kuala Lumpur first via the Karak highway and then proceed North to Tapah, which is the main entry point to Cameron Highlands. You may also catch a train from Tanjung Pagar station in Singapore which leaves daily for Tapah and then travel on to Cameron Highlands by taxis, a distance of approximately 60 kilometres. Taxis are also available for travel between the three townships of Cameron Highlands. 



----------------------------
Latar belakang Cameron Highland


Tucked away serenely amidst the clouds 1,829 metres above sea level is Cameron Highlands, Pahang state's premier hilltop holiday spot. 

The cool, fresh air on the highlands offers an attractive retreat for city dwellers who want to retreat temporarily from the noise and pollution in the city. 

The cool, frost free climate is also an ideal and excellent condition for the cultivation of tea. Tea cultivated on Cameron Highlands is among some of the best tea found in the country. Verdant green hillsides planted with young tea plant greet you as you drive slowly up the meandering road to the three townships of Ring let, Tanah Rata and Brinchang. The fresh mountain air will reveal just how prestige this mountain top gateway is, especially for those who want to unwind and relax amongst the cool serenity of the highlands. 

First discovered in 1885 by a British surveyor William Cameron, the fame of Cameron Highlands grew during the colonial era when British Planters realised the potential of its fertile mountain slopes for growing tea, then a prized commodity among the colonies. 

Families of these Britishers stationed in Malaya at the time also took to hills in a respite from the hot, humid tin mines and rubber plantations. Some of the bungalows left behind are still being preserved for viewing by tourist, with a few facilities added for the conveniences of visitors. 

Since then, Cameron Highlands, with its cool temperate surroundings has developed into a favoured getaway among honeymooning couples as the beauty and tranquility of this captivating plateau has cast its spell of enchantment over locals and visitors alike. 

Blue skies, clear streams and profusion of colourful flowers add to the splendour of this magnificent holiday site. Truely, a visit to Pahang would not be complete without a trip up to Cameron Highlands. 
-------------------------------------------------

2000   2001   2002   2003   2004   2005   2006