KEPERITAN
            HIDUP ZAMAN KOMUNIS DI SEMENYIH 
            1948 - 1960
            Ketika itu banyak berlaku pertempuran. Saya lahir
            pada tahun 1933. Ketika itu saya berumur 20 tahun . Saya dulu duduk
            di sini berdekatan dengan lombong bijih timah yang ada sekarang.
            Rumah tersebut telah dirobohkan, tetapi tapak dan kesan-kesan tiang
            masih ada lagi. Di hadapan rumah saya ialah bekas penghulu Mukim
            Hulu Semenyih. . Rumah tersebut berdekatan dengan Sungai Semenyih,
            betul-betul di tebing Sungai Semenyih. 
            Penduduk Kampung Pasir ini asalnya dari penduduk
            Kampung Sungai Pening dan Kampung Sungai Pening. Masa darurat
            terlampau hangat, kerajaan tak boleh kawal. Masa itu rumah tidak
            teratur lagi . Orang ini pindah ke mari ( Kampung Pasir Baru ) pada
            tahun 1973. 
            Masa itu saya sudah saya jadi guru. Saya mengajar
            di Sekolah Kebangsaan Hulu Semenyih. 
            Ramai penempatan Cina di Kachau dan Sungai
            Lalang, terutama berdekatan dengan Sekolah Rendah Hulu Semenyih dan
            di Batu 27 , ramai orang Cina duduk. Terlampau hangat, estet dan
            kapal korek dibakar oleh tentera British. Pada masa itulah pasukan
            keselamatan yang dipanggil Jungle Squad memindahkan semua orang Cina
            ke pekan Semenyih sekarang ini. Semua orang Cina dipindahkan.
            Pekan-pekan dan semua rumah-rumah dibakar. Jadi semua Cina di Pekan
            Semenyih berasal dari kampung ini . Masa dahulu Cina yang ada di
            pekan Semenyih hanyalah di kawasan pekan. Di luar kawasan pekan
            tidak ada orang Cina. Masa darurat mereka dipindahkan dari sini.
            Ramai dipindahkan. Mungkin beribu dipindahkan. 
            Seingat saya ada tiga buah sekolah Cina . Iaitu
            di Batu 27, di Pekan Simpang dan sebuah lagi di kebun Tuan
            Carp.Ramai sungguh orang Cina di sini. Dekat-dekar 10,000 orang
            Cina. Tetapi bukan semua dipindah ke Pekan Semenyih. Ada yang
            dipindahkan ke Sungai Buluh dan mana-mana tempat yang mereka suka
            hendak pergi. 
            Masa itu orang Melayu tidak sampai 1000 orang
            pun. Kampung Sungai Lalang itu lebih kurang 300 orang sahaja
            penduduk. Bilangan penduduk Sungai Pening lebih kurang begitu juga.
            Di Sungai Pening tidak ada orang Cina, semua orang Melayu. Orang
            Melayu Sungai Pening dipindahkan kemudian daripada itu. Orang Melayu
            dipindahkan pada tahun 1951, iaitu setelah saya menjadi guru. Semua
            orang Melayu di Sungai Pening dihukum pindah. 
            Mereka dipindahkan kerana komunis, keselamatan
            mereka tidak boleh dijaga oleh pasukan keselamatan. Sukar beli beras
            dan minta bantuan. Pada masa itu kampung ini dipagar dengan dawai
            berduri. Penduduk diberi senjata. Penduduk dipaksa menjaga dan
            mengawal kampung. Saya masih ingat, di rumah saya ada tiga pucuk
            senapang. Kerajaan memberi senjata kepada semua Home Guard iaitu
            pengawal kampung. Penduduk kampung menjaga kampung sendiri pada
            waktu malam. Ada tiga pucuk senapang patah di rumah . Saya satu
            laras, pak tiri satu laras dan abang saya. Masa itu umur saya 20
            tahun. 
            Semua Home Guard diberi latihan memegang senjata
            dan menembak kalau kena serang. Setiap kampung dihantar seorang
            jurulatih menggunakan senjata. Tempat latihan di sebuah padang
            berdekatan dengan sekolah. Kawalan secara begilir-gilir setiap
            malam. Sepuluh orang malam ini dan sepuluh orang malam esok. Pada
            waktu siang jika pergi bekerja, senapang itu dicerai-ceraikan dan
            disorokkan di mana-mana. Teruk juga kawalan pada masa itu. 
            Pada ketika itu kampung ini diberikan 60 pucuk
            kepada 60 orang. Setiap seorang sepucuk senjata. Kerajaan menubuhkan
            pasukan Home Gurad kerana memikirkan bantuan lambat datang jika
            berlaku sesuatu kejadian. Oleh penduduk kampung mengawal sendiri
            kampung masing-masing. Jurulatihnya orang Melayu juga. Nama
            jurulatih itu ialah Mat Aked. 
            Antara yang menjadi Home Guard ialah saya sendiri
            ( Alias bin Toyan ). Adik saya iaitu Sulaiman bin Toyan dan bapa
            tiri saya. Masa itu saya menjadi home guard yang paling muda. Ketua
            Home Guard bernama Mat Aked. Beliau sudah meninggal dunia. 
            
            KAWALAN SETIAP MALAM 
            
            Setiap malam berkawal di post-post. Memang ada
            pondok kawalan. Pondok kawalan itu dibuat daripada kayu dan tanah,
            macam suasana perang betul-betul. Pondok kawalan dibina daripada
            pasir. Kami duduk berkubu dalam pondok itu. Dinding papan tinggi dan
            dibubuh pasir, pondok ini di kawasan yang sesuai, strategik , di
            bahagian menghadap belakang kampung. 
            Masa itu kami ada dua kumpulan. Kampung Pasir
            satu kumpulan dan Kampung Sempa satu kumpulan. Setiap malam tidak
            kurang dari tujuh orang berkawal bergilir-gilir. Di sini tidak
            pernah pula berlaku tembak menembak dengan Home Guard. 
            Ada seorang tukang gunting ditembak oleh komunis
            di Pekan Simpang. Namanya ialah Abdul Wahab. Dia dibunuh oleh
            kawannya sendiri juga komunis. Wahab ini keluar dari pasukan komunis
            lalu dituduh belot. Apabila berkawan dengan komunis atau menyertai
            komunis, hendak meninggalkan kumpulan komunis tak boleh keluar
            begitu sahaja. Ahli yang keluar dianggap belot dan dihukum bunuh.
            Punca pembunuhan ialah kerana belot dari perjuangan komunis. Mereka
            tidak dibenarkan menarik diri. Mereka akan ditembak mati. 
            Sekitar tahun 1950, pasukan SC iaitu Special
            Constable yang mengawal ladang-ladang . Komunis tahu sesiapa yang
            menjadi SC lalu ditembak. Dua orang ditembak mati. Selalu berlaku
            pertempuran , tertapi tak namapak, hanya dengar bunyi pertempuran.
            Jauh berlaku di dalam hutan, di dalam kebun-kebun getah. Kebun getah
            ini dimiliki oleh orang Cina. 
            Semua orang Cina dihukum pindah pada tahun 1948.
            Selama tiga tahun orang Cina tidak dibenarkan masuk ke dalam kebun
            getah. Tidak ada orang yang pergi menoreh. Lama selepas itu barulah
            dibenarkan masuk, itupun setelah undang-undang darurat
            dikuatkuasakan. Kawalan dari jam 6.00 pagi hingga 2.00 sahaja
            dibenarkan keluar. Selepas itu hanya duduk di rumah. Selepas 2.00
            petang tidak boleh duduk dalam kebun getah, mesti di jalan-jalan
            raya. 
            Sepanjang jalan dari Semenyih ke Kampung Pasir
            ada beberapa sekatan jalan raya. Di Kampung Pasir ada sekatan, satu
            lagi di Putih Tin iaitu berdekatan dengan sekolah. Satu lagi sekatan
            berdekatan dengan Balai Polis Semenyih. Balai Polis Semenyih yang
            ada sekarang tetapi bangunannya dulu hanya bangunan papan sahaja. 
            Tidak ada pakaian khas untuk Home Guard. Anggota
            Home Goard boleh memakai apa sahaja corak pakaian. Tidak ada
            uniform. Setiap Home Goard diberi selaras senjata dengan 25 biji
            peluru. Tujuannya untuk mempertahankan diri. Sebenarnya komunis ini
            sangat ganas. 
            Ada Jungle Squad yang mati iaitu berdekatan
            dengan kilang papan yang ada sekarang. Semua anggota Jungle Squad
            ini terdiri dari orang kampung ini juga. Pasukan mereka kena serang
            di tengah jalan . Ada dua orang kampung ini yang mati kena serang
            hendap oleh komunis. Mereka merupakan pasukan Jungle Squad. Seorang
            darinya ialah Harun dan seorang lagi bernama Syarif. Mereka kena
            serang berdekatan dengan kawasan Broga. 
            SC ini kebanyakannya orang tempatan. Semuanya
            orang tempatan, lingkungan umur 20-an. Mereka bertugas di sekitar
            Semenyih. Mereka bertugas menjaga harta orang putih sahaja. Estet
            dan kayu balak. Semenyih Estet, Dominion Estet , Saringgit Estet,
            semua orang putih punya. Ladang-ladang dipunyai oleh orang putih.
            Saringgit Estet kini telah dijadikan taman perumahan. 
            Ladang Semenyih terletak di sebelah kiri jalan ke
            Broga ada sebuah lagi ladang bernama Ladang Balau. Ladang-ladang ini
            dikawal oleh pasukan SC iaitu Special Constable. Setiap ladang tidak
            kurang dari 20 orang, tapi bilangan tidak tentu. Bergantung kepada
            sama ada bahaya atau tidak. 
            Kawasan kilang papan dekat dengan Sungai Tekala
            ramai SC berkawal. Hasil pada masa itu ialah kayu balak. Oleh itu
            mereka jaga kawasan kilang papan. Tidak silap saya masih ada kereta
            perisai dalam kawasan kilang papan. Di panggil armour car. Kereta
            itu sebenarnya dimiliki oleh tauke kilang papan. Dia beli sendiri
            untuk menjaga keselamatannya. Bila darurat habis, kereta perisai itu
            tidak digunakan lagi dan diletakkan di situ. Kereta perisai itu dia
            beli sendiri, bukan polis punya. 
             
             MANGSA KEGANASAN KOMUNIS
            
            Antara penduduk kampung yang menjadi SC ialah
            Umar bin Jawi , Syuib bin Jawi, Salleh bin Shuhaimi dan Hamid bin
            Tari. Syarif , asal dari Beranang. Harun bin Kasa. Yaakob bin Jamin.
            Kadir. 
            Ramai juga penduduk yang menyertai Home Guard .
            Tidak ada orang perempuan yang menyertai Home Guard. Pasukan polis
            perempuan hanya di bandar-bandar sahaja. Malay Women Home Guard.
            Mereka akan memeriksa orang perempuan. Apabila melintasi sekatan,
            seluruh tubuh akan diperiksa. Malay Women Home Guard akan memeriksa
            orang perempuan. Home Guard lelaki akan diperiksa oleh orang lelaki.
            Singkatan bagi Malay Home 
            Wahab yang dibunuh berasal dari negeri Pahang. Di
            Pahang dia masuk dalam kumpulan ini. Dia kemudian lari ke mari .
            Lari daripada kumpulan ini.. Tetapi dia dijumpai di kawasan ini lalu
            ditembak. Saya memang nampak betul-betul dia kena tembak di pekan
            ini. ( Pekan Simpang, Kampung Pasir ). Dia ditembak di dalam
            kedainya. Masa itu semua kawasan di bawah Cikgu Aziz, dulu semua
            pekan dulu itu. Dari deretan kubur hingga ke rumah Cikgu Abdul Aziz.
            Dari kiri ke Semenyih dan kanan semua kedai dua tingkat. Jalan ke
            mari juga kedai - banyak dan panjang. Dulu semua kedai Cina. 
            Namun begitu tidak ada orang Melayu yang membalas
            dendam ( di atas kematian Wahab ). Tiada ada yang berani. Tidak ada
            tindakan daripada orang Melayu. Tidak seperti tindakan di Perak. Di
            Perak itu lain. Macam di Kampung Bakul, di negeri Perak. Kejadian di
            Sungai Manik itu lain. Kejadian itu sebelum darurat. Kejadian di
            Batu Kikir, itu sebelum darurat. Itu memang perkauman. Sebenarnya
            perkauman ini sudah lama . Masa dulu di Sungai Manik, mana boleh
            orang Cina masuk. 
            Masa itu di Kampung Pasir ini tidak ada api
            elektrik. Air pun tidak ada. Masa itu hanya menggunakan air perigi.
            Masa itu ada jalan tar sejak lama. Jalan kampung ini juga ….. masa
            itu kampung pasir ini masih belum ada. Hanya diwujudkan pada tahun
            1980an… iaitu Kampung Pasir Baru. 
            Pemeriksaan atau Kachau Gate itu terletak sebelum
            ke Semenyih. Masa itu semua itu di panggil Jalan Kachau. Masa itu
            tidak ada lagi bas. Sebelum kejadian 1948, ada bas masuk. Mewah.
            Selepas tahun 1948, tidak ada lagi bas yang masuk Sebelum itu ramai,
            orang ramai. Hanya tinggal orang Melayu. Penduduk terpaksa pergi ke
            Semenyih untuk membeli beras dan lain-lain. 
            Kubu komunis terletak di dalam hutan. Kubu
            komunis banyak di Bukit Kopi, Semenyih. Di situ selalu berlaku
            pertempuran. Dalam seminggu, sekali memang ada pertempuran.
            Kadang-kadang komunis ini keluar menyerang terutama sekali Ladang
            Dominion. Kadang-kadang Saringgit Estet. Kadang-kadan Balau Estet.
            Kedengaran bunyi tembakan pada waktu malam. Banyak bunyi termbakan.
            Kalau brenggun berjujut bunyi, menderu bunyinya. 
            Masa saya sekolah dalam darjah enam, di mana
            disyakki ada kubu komunis semua dibom oleh pihak British . Kapal
            terbang B29 , iaitu kapal terbang yang paling besar akan
            menggugurkan bom. Bom berangkai akan menggurkan bom,
            sekurang-kurangnya 1 minit berdentum – tak habis, lama. Di sini
            memang ramai komunis … Broga dan Semenyih. Di sini kawasan yang
            paling darurat. Mana ada kawasan lain, bandar lain kena bakar,
            tetapi di sini, pekannya kena bakar. 
            Punca dibakar supaya komunis tidak dapat bekalan.
            Mereka dihukum pindah, supaya tidak memberi bekalan kepada komunis.
            Selagi ada rumah , apa juga, semua dibakar. Mereka tidak boleh duduk
            di sini. Mereka itu menyokong komunis. Mereka terpaksa sokong.
            Terpaksa sokong. Sebenarnya yang masuk itu bukan semua-
            kebanyakannya terpaksa. Bila hukum pindah, keluarlah. Masa itu orang
            Cina makan nasi kancah. Datang ambil nasi sahaja., tak boleh ambil
            beras. Beras tak boleh ambil. Mereka sangat dikawal rapi. Jika tidak
            dibuat begitu, sampai sekarang masih ada lagi komunis. Semua
            rancangan ini Jeneral Templer punya rancangan. 
            Orang Melayu boleh keluar. Pada pukul enam pagi
            boleh keluar. Keluar ke jalan raya pukul enam. Balik lah ke rumah
            masing-masing. Setiap hari, waktu siang dikawal. Waktu malam
            ditembak dengan mortar terutama di kawasan Sawmill. Kami panggil
            Kachau… sebenarnya di kawasan kaki bukit , dekat hutan sana. Di
            bom oleh tentera British. Terdengar bunyi rooommmmmmm, macam cerita
            filem orang putih sekarang. Ketika itu ada tentera Sulfolk. Mereka
            tembak dengan mortar. Peluru lalu atas kampung. Takut tak takut
            duduklah diam di rumah. Tentera Sulfolk tembak dengan peluru mortar. 
              PENDUDUK MELAYU TIDAK DIGANGGU
            
            Orang Melayu di kampung ini tidak dikacau oleh
            komunis . Mereka tidak datang meminta makanan. Sebenarnya mereka ada
            kuncu di luar yang menghantar bekalan. Orang Melayu terpaksa
            diperiksa sama. Macam mana orang Melayu hendak beri bekalan kepada
            komunis kerana kehidupan orang kampung sendiri hidup susah. Kerja
            mana ada. Kerja yang ada cuma menoreh getah. Jika hari hujan,
            peritlah tu. Orang kampung tidak dikacau ganggu. Tauke dikacau, jika
            tak di beri, mereka akan ditembak. 
            Semua senapang dipulangkan semula oleh homeguard
            selepas itu. Masa itu saya tukar ke Sabak Bernam. Jadi guru di Sabak
            Bernam pada tahun 1956. Senapang itu masih ada lagi di rumah. 
            Kemudian senapang itu dipulang. Bila ke sekolah,
            naik basikal. Jadi cikgu, beli basikal, basikal baru. Tahun 1953.
            Masa itu tidak ada kedai gambar di Semenyih, 
            Imam Manaf, bapa saudara saya., Dia berkedai.
            Masa kedai terbakar itu, saya terlibat sama. Masa terbakar itu saya
            duduk di kedai itu, sukat beras, timbang dan kerja-kerja lain. Saya
            memang terlibat secara lansung dengan kedai itu. Masa itu kedai itu
            besar juga. Beli beras pakai kad, beras, gula, tepung. Masa itu
            tidak ada jualan lansung. Masa itu beras datang dari Kajang dan
            diagihkan . Setiap rumah ambil dua-dua gantang sahaja. Kalau tiga
            gantang, ambil tiga gantang sahaja. 
            Harga masa itu murah. Seringgit lapan puluh sen
            beras segantang. Menggunakan timbang kati. Petang itu bekalan beras
            datang dari Kajang ( di Kajang ada gudang beras, berhampiran dengan
            stesen keretapi sekarang ini ). Malam itu terbakar habis. Dibakar
            oleh orang putih. Orang putih beritahu beberapa minit, bawa barang,
            apa-apa benda yang penting di bawa keluar. Tarikhnya 12.12.1948.
            Mana ada yang selamat. Semua habis terbakar. Masa itu saya pun tidak
            tidur di kedai. Kalau saya tidur di kedai, apa yang boleh saya buat.
            Masa itu saya masih budak lagi. Umur lima belas tahun. Ambilah
            barang dalam masa 15 minit. Apa barang yang sempat diselamatkan. 
            Ada banyak pintu kedai, lebih 20 buah pintu. Ada
            gelanggang bola keranjang. Dekat dengan tanah wakaf hingga ke
            Sekolah Rendah Hulu Semenyih. Semua kedai papan dua tingkat. Masa
            itu rumah-rumah kedai itu cantik-cantik. Tiang kedai besar-besar,
            dulu punya kayu. Depan rumah Cikgu Aziz, rumah kedai daripada batu.
            Sampai sekarang masih ada kesan-kesan . Masa itu tidak ada orang
            ambil gambar rumah kedai terbakar . Askar orang putih ada ambil
            gambar. 
            Kem askar terletak dekat padang, tanah lapang
            berdekatan dengan lombong berhadapan dengan rumah Cikgu Aziz, dekat
            sekolah. Ramai askar orang putih. Satu batalion. Dekat seribu orang,
            lengkap dengan mortar , brengun, stengun dan lain-lain senjata. Tapi
            tidak ada kereta kebal. Lengkap dengan mortar dan meriam. Mereka
            dipanggil askar infantri. Tidak ada askar Gurkha. Banyak British
            Army. Tidak lama kemudian diganti dengan askar Melayu pula. Batalion
            ke 6, masa itu saya sudah bertukar ke Sabak Bernam (menjadi guru).
            Ramai sungguh. Sampai habislah komunis dikerjakannya. 
            Askar British lama juga di sini, hingga tahun
            1956. Tahun 1948, tentera British belum bina kem di sini lagi. Tahun
            1950 askar British bina kem di sini. 
            Dulu ada banglo, dekat dengan Putih Tin. Ada
            banglo 2 buah, berhadapan dengan rumah Cikgu Aziz. Banglo besar.
            Sekarang tiada lagi, habis runtuh. Rumah orang putih besar betul.
            Nama orang yang tinggal di situ saya tak ingat lagi. Nama-nama tauke
            Cina yang saya masih ingat ialah Cinku. Sekarang kedainya dekat
            kedai surat khabar di Pekan Semenyih . Nama lain ialah Ah Peng, Si
            Chik, Ah Teng , Ah Pok ( jual air batu), Ah Kau ( paling kaya di
            Semenyih- berniaga getah ). Imam Manaf kedai runcit juga. Selepas
            dibakar tidak berniaga lagi. 
            Tapak kedai Syarikat ( Koperasi Teras Sdn Bhd )
            di Semenyih dulu dia yang punya ( jual bunga sekarang ). Dekat kedai
            basikal, di tengah Pekan Semenyih. 
            
            JAGA LADANG ORANG PUTIH 
            
            Saya jadi guru, cukup suka. Gaji dibayar 60
            ringgit. Latihan normal. Nasib baik itu.Dulu sesiapa tak masuk kolej
            akan dibuang, diganti dengan orang lain . Tetapi masa saya diserap. 
            Beret , Jungge Squad pakai uniform hijau. Bukan
            setakat jaga ladang. Mula hanya jaga ladang. Tetapi kemudian sama
            macam askar yang lain. Askar Melayu datang 1956, bina kem. Keadaan
            sekarang sudah berubah. Sungai pun sudah berubah. Cina lombong ubah
            aliran sungai untuk melombong bijih. Namanya Putih Tin. Dipanggil
            Tin Tin Limited , Kachau. Dipunyai oleh orang putih. Kapal korek
            telah ada sebelum Jepun. Tersadai dekat rumah murah ( Taman Sri
            Tangsi ). Selepas Jepun kapal korek dijalankan semula . Di bakar
            kapal korek. Tapi kapal korek tidak dapat dibakar kerana terletak di
            tengah lombong. Semua rumah kongsi pekerja lombong dibakar. Hanya
            ada sebuah kapal korek. 
            Banyak lombong di sini dahulu. Ada dua tiga
            kompeni. Lombong ini dipunyai oleh orang Cina dan orang putih.
            Lombong-lombong ini pekerjanya hanya orang Cina, Orang Melayu cuma
            menjadi jaga. Orang Cina datang ke sini telah lama, sebelum perang
            lagi. Orang Melayu bekerja di sawah padi, di Sungai Pening.
            Lain-lain orang Melayu sebagai penoreh getah. Harga getah tak mahal,
            Harga getah yang mahal sekejap sahaja itu setahun lapan bulan iaitu
            semasa Perang Korea. Harga getah dua ringgit sekati – getah
            keping. Nyaris-nyaris sahaja berhenti. Mujurlah abang ipar saya
            ingatkan saya jangan berhenti – harga getah mahal ini tidak akan
            lama. Satu hari menoreh getah dapat lima enam puluh ringgit. Duit
            masa itu. Beras 1.80 segantang. 
            Ayah saya bekerja dengan JKR, meninggal semasa
            Jepun. 
            Penduduk India bersekolah di Sekolah Ladang
            Dominion . Dulu ramai pekerja di Ladang Dominion. Beratus orang.
            Banyak rumah kuli masa itu. Sekarang tidak ada lagi kerana pakai
            mesin. Tanam sekejap siap, pakai traktor . Lebih ramai orang India
            daripada orang Melayu di dalam estet itu. 
            Orang Melayu di sini banyak berasal dari Sumatera
            itu daripada Kampar. Bapa saya dari Sumatera. Saya lahir di sini.
            Bapa saya Toyan bin Hussin. Dia lahir di Sumatera. Adik beradik saya
            ada lima. Namanya Fatimah dan Sulaiman. Yang Masih hidup saya (
            Alias), Hamidah dan Sulaiman.). Saya pencen pada 14 Disember 1988 . 
            Masa Jepun , banyak duit. Pakai cop sendiri,
            Sampai berbakul-bakul. 
            .-------------------------------------------------------------------- 
            Rakaman amat 1.30 tengah hari di rumah Cikgu
            Alias Toyan, Kampung Pasir, Semenyih. 
            Rakaman dibuat oleh : 
            1.Cikgu Abd Malek bin Haji Abd Hanif 
            2.Mohd Farid bin Abdul Ghani 
            3.Mohd Hafiz bin Hamdan 
            4.Siti Darmawan bin Abdul Rafai 
            5.Ahmad Zeedany 
              
            Ps: 
            Tape rakaman masih ada dalam simpanan. InsyaAllah
            jika ada kelapangan akan ditukar kepada MP3. 
            Saiz besar….. 
             |