Sejarah Kampung Seri Tanjung

Kampung Seri Tanjung yang terletak kira- kira 100 meter dari Pekan Semenyih merupakan antara petempatan terawal sejak zaman darurat lagi . Namun kini, Kampung tersebut telah mengalami banyak perubahan dari semasa ke semasa . Kawasan taman perumahan telah mula didirikan dan didiami oleh penduduk antaranya ialah Taman Seri Tanjung Fasa 1 & 2 . Di samping itu , terdapat juga laluan yang menghubungkan kampung tersebut dengan kampung lain seperti Kampung Sentosa dan Jalan Sungai Lalang . 

Untuk meneruskan lagi kajian kami , pada 13 Oktober 2000 kami telah menemuramah orang sumber yang telah lama menetap di Kampung Seri Tanjung selama kira- kira 70 tahun . Beliau yang dimaksudkan ialah En . Maaruf B. Rusdi . Beliau merupakan antara penduduk terawal di kampung tersebut . En Maaruf , 74 , merupakan bekas ketua kampung atau Tok Dagang Kampung Seri Tanjung 

Menurut En . Maaruf , kampung tersebut pada asalnya merupakan padang atau kawasan lapang yang menjadi tempat kerbau makan . Pada masa itu , kampung tersebut merupakan kawasan terbiar . Tidak lama selepas itu , penduduk awal telah mula mendirikan pondok – pondok dan dari situlah petempatan mula berkembang . Ketika itu, penduduk kampung hanya melakukan aktiviti pertanian .

Keadaan Kampung dan Kawasan Sekitar Semasa Darurat 

Zaman darurat ketika itu juga dikenali sebagai zaman komunis . Pda masa itu , penduduk mula ramai dan petempatan mula banyak . Menurut En. Maaruf , sejak zaman darurat Jepun sehinggalah zaman darurat kawasan kampung tersebut dan kawasan sekitarnya telah dipagar dan dikepung oleh pasukan polis dan tentera ( SC ) . Pengepungan ini adalah bertujuan untuk mengawal keselamatan penduduk daripada ancaman pihak komunis . Kawasan pemagaran ini meliputi kawasan kampung tersebut sehinggalah sekitar Kampung Baru Cina . 

Selain itu , terdapat juga ‘pintu’ sekatan yang dikawal oleh pasukan tentera . Sekatan dijalankan di sempadan laluan ke Seremban dan jalan ke Kampung Sungai 

Purun . Pasukan tentera mengadakan pemeriksaan bagi memastikan tiada penduduk yang menyeludup bekalan makanan untuk membantu pihak komunis . Terdapat juga sekatan yang dipanggil Town Limit berhampiran sebuah kilang papan . Pihak tentera juga memeriksa tong – tong getah para penoreh kerana ketika itu pihak komunis tertumpu di kawasan estet dan lading getah . 

Peristiwa Tragis Semasa Darurat

En . Maaruf juga ada menceritakan peristiwa tragis yang berlaku pada masa itu . Satu peristiwa tembak – menembak telah berlaku di Balai Polis Semenyih sehingga mengorbankan seorang anggota polis berpangkat sarjan . Selain itu , rumah – rumah penduduk Cina dibakar selepas mereka dipindahkan dari Ulu Semenyih ke Semenyih . Ini adalah bagi memastikan mereka tidak pulang semula ke sana kerana pihak komunis menanti mereka di sana .

Langkah yang Diambil Oleh Penduduk Setempat 

Menyedari akan hal ini , penduduk setempat telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan pasukan keselamatan bagi memasikan penduduk kampung dalam keadaan yang selamat daripada ancaman komunis . Penduduk kampung membuat rondaan sekeliling kampung . Ada juga penduduk kampung yang dipilih menyertai pasukan keselamatan iaitu Home Guard dan mereka dihantar berkursus di Gombak . Home Guard dan AC serta penduduk kampung bergilir – gilir berkawal ke sekeliling kampung . Namun begitu , anggota AC lebih tertumpu di kawasan estet . Kampung Seri Tanjung ketika itu adalah di bawah pimpinan En . Adam B. Tawar .