Make your own free website on Tripod.com
  

RAKAMAN PERBUALAN 
RUNDINGAN DAMAI BALING 1955


Tunku memulakan perbualan biasa dengan mengemukakan beberapa soalan seperti menanyakan samada mereka sudah makan atau belum, dan samada mereka berasa letih. Chin Peng menunjukkan sebuah kotak rokok cap Players bila ditanya oleh Tunku samada ia mempunyai rokok atau tidak. Rashid Mydin pula mengangkat sebuah tin..... Old English, sebagai menjawab pertanyaan David Marshall mengenai jenis tembakau yang dihisapnya. 

Tunku menanyakan lagi samada ia dikehendaki memulakan mesyuarat itu. Chin Peng lantas menjawab, "Lebih elok,Tunku Ketua Menteri memulakannya". Sebelum itu telah memberikan jaminannya atas keselamatan Chin Peng dan rombongannya itu di sepanjang waktu diadakan perundingan, dan akan menentukan suatu "tempoh membiarkan mereka pergi" apabila tamat perundingan itu. Ini disebabkan Chen Tien lebih dahulu dari itu telah menitikberatkan soal jaminan keselamatan diri mereka di tangan Kerajaan. 

Tunku menjelaskan bahawa kedatangannya adalah untuk menerangkan sepenuhnya mengenai syarat-syarat tawaran menyerah diri kepada Komunis di samping mengingatkan mereka tentang perubahan-perubahan politik yang sedang berlaku dalam negeri ini. Diterangkan juga bahawa kemenangan partinya dalam pilihanraya lalu, adalah disebabkan janji yang dibuat olehnya bahawa "penjajahan asing akan dihapuskan dan negeri ini mesti diberi kemerdekaan". 

Tunku menerangkan juga tentang jaminan Kerajaan British kepadanya, menerusi ucapan Sir Donald Mac Gullivray, dalam Mesyuarat Undangan, iaitu bahawa, "keadaan darurat yang terus menerus berlaku dalam negeri ini tidak lagi dipandang oleh kerajaan Bristish sebagai penghalang kemajuan politik Persekutuan menuju ke arah kemerdekaan. Kerajaan Bristish bertujuan akan memulakan rundingan baru pada bulan Januari, berdasarkan jaminan ini". Kesan pengumuman yang baru itu amat besar kepada Perikatan. Tidak lama selepas pengumuman , UMNO dalam persidangan agung tahunannya terus meluluskan ketetapan bahawa kemerdekaan "mesti dicapai selewat-lewatnya 31-8-1957". 

Dan kepada Chin Peng Tunku menegaskan "Saya tidak ragu-ragu lagi bahawa kemerdekaan akan dapat kita capai dalam bulan ogos tahun hadapan dan tidak ada syarat lagi dikenakan untuk kita mencapai cita-cita itu. Sebelum parti saya berkuasa, saya telah menegaskan bahawa saya akan berusaha mengamankan negeri ini. Saya masih berpegang kuat dengan cita-cita saya. Saya datang kemari bukan sebagai patong atau alat penjajah. Saya datang kemari sebagai hamba rakyat dan mewakili rakyat yang telah melantik saya memegang tampuk pemerintan dalam negeri ini. Sekarang saudara bebas menyatakan fikiran dan pendapat saudara. Tidak ada siapa yang akan menghalang. Tetapi saya ingin tahu mengapa saudara menolak syarat-syarat menyerah diri yang saya tawarkan itu." 

Chin Peng telah menjawab dalam bahasa Mandarin dan Chen Tien telah menterjemahkannya. Chin Peng sendiri tahu bahasa Inggeris tetapi dia telah tidak menggunakan selama lapan tahun iaitu sejak ia bergerak di dalam hutan. Chin Peng mengakui kedudukan Tunku dalam pemerintahan yang ada di masa itu, menurutnya, "Kerana kami sedar bahawa Tunku bukan perkakas Kerajaan British, maka hari ini kami keluar tanpa menghiraukan keselamatan nyawa kami untuk berjumpa Tunku. Saya kemari bukan dengan maksud hendak berbahas mengenai faham dan pendirian kita tetapi untuk mencari perdamaian yang diperlukan oleh semua orang. Saya harap perdamaian boleh dicapai dengan seberapa segera supaya kesengsaraan yang dialami oleh rakyat dapat dikurangkan". 

Syarat-syarat tawaran menyerah diri itu tidak dapat diterimanya, menurut Chin Peng ialah kerana tawaran itu tidak membenarkan orang-orang Komunis tegak sama tinggi dengan orang-orang lain sehingga mereka juga dapat sama-sama berjuang mencapai kemerdekaan dengan jalan damai". Tunku menjawab bahawa tawaran itu menjamin, bahawa orang-orang Komunis yang membuang fahaman Komunisnya dan memberikan taat setia kepada Kerajaan, "akan ditolong untuk hidup secara terhormat dan balik ke dalam masyarakat seperti penduduk lain". 

Tunku menegaskan lagi: "Mula-mula saudara mesti menyakinkan kami bahawa saudara taat setia kepada Malaya, sekadar menentang British sahaja, belum boleh dikatakan kamu semua taat setia kepada Malaya. Rakyat Malaya memandang kamu semua sebagai orang asing yang menumpukan taat setia kepada sebuah negeri lain. Kerana itu kamu mesti menunjukkan taat setia kamu lebih dahulu kepada negeri ini sahaja". 

Chin Peng kemudian menuntut supaya Komunis Malaya dihalalkan. Ia mahu supaya syarat-syarat menyerah diri itu dikaji dan dipinda. "Sebagai anggota-anggota PKM, kami masih berpegang kepada faham kami. Kami tidah membiarkan orang lain memaksa kami meninggalkan faham itu. Tetapi Kerajaan sekarang telah memaksa kami meninggalkan faham kami. Sebagai rakyat negeri ini, tentulah kami mempunyai tugas dan tanggungjawab, tetapi dalam pada masa itu mestilah kami diberi hak kebebasan berfikir. Dan menurut Kerjaan, hak-hak ini mahu dilucutkan dari kami. Kami bermaksud hendak menawarkan faham kami itu supaya ditimbangkan oleh rakyat, sekiranya kami itu boleh dilakukan", tegas Chin Peng. 

Tunku menegaskan lagi bahawa pihak Perikatan menjamin pokok-pokok kebebasan yang lima itu. Seraya menambah kata, "Saudara menyatakan tadi hendak menyerahkan kepada rakyat negeri ini sendiri memilih faham mana yang mereka suka. Bagi diri saya, saya tidak ragu-ragu lagi, bahawa dalam pilihanraya yang bebas, rakyat negeri ini akan memilih sistem kami". 

Chin Peng menjawap, "Ya, Saya pun tahu, dan saya bersetuju. Tetapi kami telah menjelaskan lebih dahulu bahawa kami tidak dapat menerima syarat-syarat tawaran penyerahan diri itu kerana kami dikehendaki membubarkan Parti Komunis. Sekarang saya ingin mendapat penjelasan dari kedua-dua Menteri kalau ada atau tidak satu-satu dasar yang boleh dibincangkan lagi". Dengan tegas Tunku menjawab, "Tidak, kalau saudara hendak membawa saya supaya balik mempersoalkan sama ada kami mengakui Parti Komunis atau tidak, jawabnya tidak. Apabila saudara keluar dari hutan dan menyerah diri, soal faham dan kepercayaan itu adalah soal saudara sendiri, tetapi gerak-geri saudara, terutama gerakan yang ditujukan supaya orang ramai menerima faham Komunis, itu adalah masalah lain". 

Tetapi Chin Peng masih belum mengaku kalah. Dia ingin mengetahui mengapa mereka sebagai Komunis tidak dibenarkan mengumumkan kepada orang ramai bahawa mereka itu Komunis. Mereka tidak mahu masuk menjadi ahli lain-lain parti dan kemudian melakukan gerakan sulit yang merosakkan. Kerana itu mereka masih mengharap bahawa soal memberi pengakuan kepada PKM itu penting diputuskan lebih dahulu. 
-----------------------------------
Tunku menjawab bahawa negeri ini tidak dapat mengakui Parti Komunis kerana gerakan-gerakan Komunis selama ini adalah berdasarkan pembunuhan, kezaliman dan berbagai rupa kekerasan. 

Encik David Mershall ketika diminta oleh Tunku mengemukakan pendapatnya telah menyatakan: "Di dalam gerakan Komunis menentang Kerajaan, mereka tidak langsung mencapai kejayaan, kecuali penderitaan semata-mata. Ada diantara Komunis itu ahli kebangsaan, dan ada pula yang ingin hendak menjadikan negeri ini satu tanah jajahan bagi satu kuasa luar. Mana-mana yang berfaham kebangsaan, kita mengalu-ngalukan mereka masuk ke dalam penghidupan rakyat yang damai. Kerajaan Persekutuan adalah merasai lebih dari apa yang dideritakan oleh kerajaan Singapura yang juga menanggung beban ini. Sekarang saya mendesak tuan-tuan berhentikanlah perjuangan yang sia-sia dan kekerasan itu serta marilah bersama-sama kami bercampur dalam kerajaan kami yang bercorak demokrasi." 

Sebelum pertemuan dihentikan buat sementara, Chin Peng memajukan satu pertanyaan lagi, iaitu sama ada sebarang keputusan yang dicapai dalam rundingan itu perlu disemak dan diluluskan oleh Kerajaan British? Dengan segera Tunku menjawab, "Kalau saya telah memutuskan satu-satu perkara dan Tuan Marshall bersetuju dengan pendapat saya itu sudah cukup, tidak perlu yang lain". 

Pertemuan mereka yang kedua dimulakan pada jam 6.30 petang, dan tamat pada pada jam 8.05 malam. Perundingan hari itu tidak dapat lagi diteruskan lebih dari itu, kerana Chin Peng berkali-kali mengemukakan soal pengakuan terhadap PKM, soal penahanan orang-orang yang menyerah diri dan kebebasan dari sebarang sekatan ke atas mereka selepas menyerah diri. Pada hari kedua, 29-12-1955 jam 10.50 pagi esoknya perundingan itu diteruskan walaupun pada pendapat Tunku ianya tidak akan mendatangkan faedah apa-apa namun Tunku masih ingin mendengar apa yang dikatakan oleh Chin Peng dan sanggup bertolak-ansur. 

Dalam pertemuan itu Chin Peng berkata, "Kalau syarat-syarat tawaran berhenti tembak menembak itu tidak diubahkan sedikit pun, saya tidak akan menerimanya. Tetapi kenyataan Chin Peng sesudah itu telah mengejutkan pendengar-pendengarnya. Chin Peng berkata, "Kalau Kerajaan-kerajaan Singapura Dan Persekutuan yang dipilih oleh rakyat telah bertanggungjawab dalam urusan pertahanan dalam dan luar negeri, ketika itulah semua kesulitan dapat diselesaikan dengan mudah. Ketika itu kami akan menghentikan peperangan dengan serta-merta". 

"Kalau ini perjanjian saudara", kata Tunku, "Salah satu dari tujuan saya ke England nanti ialah untuk mendapatkan kuasa mengawal sendiri keselamatan dalam negeri". 

Chin Peng menjawab, "Kalau Tunku berjaya mendapat kuasa mengawal keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara, ketika itulah kami akan menghentikan permusuhan yang ada sekarang dengan serta merta" tetapi ditegaskannya pula bahawa, meletakkan senjata itu bukan maksudnya menyerahkan senjata kepada kerajaan. Senjata-senjata mereka itu hanya boleh diserahkan sekiranya PKM diakui dan kebebasan kami tidak lagi disekat-sekat". 

Kenyataan Chin Peng yang akhir sekali ialah, "Berdamai ertinya menyerah diri. Menyerah diri ertinya satu kehinaan. Kami tak akan menyerah diri tetapi akan berjuang sampai ke titisan darah penghabisan". 

Dijawab oleh Tunku, "Kalau saudara tidak mahu menyerah, kami juga tidak sanggup menerima saudara sekalian menjadi rakyat negeri ini. Kalau keamanan hendak dicapai dalam negeri ini, salah satu pihak dari kita mestilah menyerah. Saya tidak sanggup membiarkan Malaya menjadi seperti Korea dan Vietnam. Saya sendiri tidak akan menyerah, sebab itu saudaralah yang mesti menyerah diri". 

Nampaknya perundingan itu tidak berfaedah diteruskan lebih dari itu, maka hingga di sinilah perundingan itu tamat. Kira-kira satu jam sahaja dari tamatnya perundingan itu, Chin Peng dan teman-temannya telah dibawa balik ke Kelian Intan dengan panduan Encik Davis. Sehari kemudian dia telah bersatu semula dengan pengawal-pengawal tubuhnya yang ditinggalkan dahulu dan akhirnya telah melenyapkan diri menuju ke sempadan selatan Negeri Thai. 

Dalam memberikan kesimpulan dan ulasannya mengenai pertemuan Tunku - Chin Peng selama dua hari itu, Harry Miller menulis demikian: 

Beberapa segi dari peribadi Chin Peng telah menarik perhatian Tunku. Beliau, katanya, berasa kagum melihat ketulusan hati dan sikap berterus terang yang ditunjukkan oleh Chin Peng. Terang-terang dia mengaku bahawa dia ialah seorang komunis tulen dan tidak akan menukar warnanya sama sekali". 

Tunku telah menerima satu pengajaran daripadanya. "Chin Peng", katanya, "telah mengajar saya apakah faham komunis yang sebenarnya. Saya tidak dapat memahamkan erti faham Komunis yang sebenarnya sebelum itu. Waktu saya diberitahu secara ringkas oleh pakar-pakar British tentang faham Komunis, saya anggap mereka dengan sengaja bermaksud hendak memomokkan orang komunis. 

Tetapi di dalam bilik darjah sekolah di Baling itulah, Chin Peng telah memberitahu saya satu kenyataan yang tak dapat saya lupakan. Perundingan di Baling itu adalah satu bukti menunjukkan bahawa Malaya dan faham Komunis tidak akan "hidup berdua mati bersama". 

Dengan pernyataan Tunku yang terus terang itu telah terbukalah tabir yang hingga saat itu, telah menutupi daya Komunis.