Make your own free website on Tripod.com
  
 

SUASANA ZAMAN DHARURAT DI SEMENYIH SEKITAR TAHUN 1948 –1960

TOKOH : TUAN HAJI ABDUL AZIS BIN MOHD NOR
Bekas pengetua , SMK Engku Husain, Semenyih
Temubual ini diadakan pada hari Rabu, 4 Oktober 2000, Jam 9.00 hingga 11.30 malam. Temubual dibuat oleh Abd Malek Abd Hanif bersama dengan Encik Mohamd Ujang.
--------------------------------------------

Di Semenyih khusus memang ramai komunis. Kawasan Semenyih terkenal ke seluruh negara kerana ramai bilangan pengganas komunis dan mereka bertindak secara ganas.

Kampung Pasir Baru sekarang asalnya  datang dari penduduk Kampung Sungai Pening . Ketika itu penduduk Sungai Pening ramai . Kemudian penduduk dari tempat tersebut di pindahkan dan menjadi Kampung Pasir dan Kampung Sungai Lalang. Ketika itu kampung dipagar dawai dan dikawal.

Ketika berlakunya dharurat,  penduduk dilarang keluar masuk. Penduduk tidak dibenarkan keluar dari jam 6.00 petang .  Pasukan  tentera British yang berkawal.

Kampung Baru dikawal dengan rapi. Makanan hanyalah nasi kawah sahaja.  Ini merupakan usaha kerajaan mengawal kegiatan komunis. Beras lansung tidak boleh dijual, hanya  makan  nasi yang telah dimasak dalam kawah. Nasi  itu dicampur dengan mihun, setiap hari. Usaha ini memang amat berkesan mengawal kegiatan komunis. Komunis tidak mendapat sumber makanan . Mereka kebuluran di dalam hutan dan terpaksa   keluar menyerah diri.

Catuan makanan dibuat supaya tidak membantu komunis. Mereka selalu diugut   komunis . Jika tidak membantu komunis mereka tidak dapat bekerja menoreh getah, keadaan akan menjadi kacau. Oleh itu orang Cina ketika itu terpaksa membantu .

Kawalan diberikan oleh  pasukan SC atau Special Constable. Pasukan ini akan    menyelia keluar masuk . Jika mereka  puas hati , barulah dilepaskan. Pemeriksaan hanya kepada orang Cina sahaja. Melayu tidak pula.

SC ini  mulanya lelaki sahaja. Ada pondok didirikan di tepi jalan. Sekatan diadakan setiap hari. Tinggi pagar kira-kra lima kaki dan berduri pula.. Apabila ada rungutan dari penduduk kampung,  barulah diwujudkan  Woman Special Constable.   Pemeriksaan secara berasingan , mengikut jantina.

Penyeludupan makanan dilakukan dengan pelbagai cara. Antaranya ialah  makanan    tersebut dijahit dalam anak baju. Pura-pura mengandung. Padahal mereka membawa  beras ke dalam hutan.

Berlaku banyak pembunuhan. Melayu banyak yang dibunuh. kerana balas dendam.  Orang Melayu disyakki menjadi tali barut Jepun.   Ada juga yang suka mengganggu dan mengacau tanaman. Mereka juga mencuri  makanan  dan tanaman yang  begitu susah payah ditanam. Selain itu   mereka menjadi polis ketika zaman Jepun.

Contohnya seorang polis  dari Sungai Macang,  waktu petang dibawa pergi , kononnya ada hal tertentu untuk disiasat tetapi tak balik-balik

Orang kampung Pasir,  Zaman  Jepun curi harta   tengah pikat burung , dibawa oleh komunis dan hilang lesap entah ke mana.

Ada seorang kebal, komunis memasukkannya ke dalam  guni , ditikam tak mati-mati. Lalu ditanam hudup-hidup sahaja.

 Ada juga diberitakan Cina juga ada ilmu kebal.

Bapa saya ( Mohd Nor ) bekerja sebagai Sepcial Constable. Satu malam ada ambush (serang hendap ) . Lalu pasukan specxial constable menembak kawasan semak  di mana komunis sedang berlindung. Kawasan semak itu hancur luluh tetapi tiada sebarang kesan komunis kena tembak. Tetapi kemudian salah bahu special constable ditepuk , " Baliklah engkau... kami tak cari   engkau,  kami cari orang lain "

Mungkin yang menepuk itu ialah Rasyid Maidin a atau Haidir . Haidir ialah seorang komunis di Ulu Langat.   Dia seorang kebal  . Jika ditembak tidak jejas apa-apa. . Lehernya dipotong, tapi boleh bercantum semula.  Matinya hanyalah   setelah tubuhnya diasingkan di sebelah sana sungai dan satu lagi di sebelah sini sungai .

Di Sungai Pagar ,     bapa saya membuat ambush dan terbunuh  seorang komunis bernama Yong Kong.

Melayu ada juga yang menyokong komunis.

Pada waktu senja,  ketika  kami  adik-beradik  membaca al Quran, datang Cina berjambang naik ke rumah dengan stengun . Siapa dia ?. Orang kata dia ialah Chin Peng.

Orang Kampung Pasir tidak disiksa oleh komunis. Tapi beras dicatu. Nasi dan mihun.   Setiap orang diberi 3 kati  beras seminggu.

Tahun 1957,  ketika saya bersekolah di  Sekolah Tinggi Kajang, makanan asrama masih dicatu. Di asrama  makan mi seminggu sekali - untuk makanan tengah hari.

Gate Kachau  ada  pemeriksaan. Sesiapa yang hendak pergi bekerja menoreh getah , mesti melalui kawasan pemeriksaan. Setelah puas hati, barulah dilepaskan pergi ke   Kachau.

PEKAN SIMPANG.

Pekan Kachau asalnya   bernama Pekan Simpang . Ada dua deret bangunan kedai sebelah - menyebelah. Ia dikenali sebagai Semenyih Lama.   Kebanyakannya kedai Cina. Kedai orang Melayu ada  1- 2 sahaja.

Seorang  tukang gunting berkedai di Pekan Simpang.  Ketika sedang mengunting,   dia ditembak mati oleh komunis . Ramai orang Cina datang berkerumun.

Ramai peniaga Cina di  kawasan Pekan Simpang Kachau ini . Mungkin kebanyakan mereka ini penyokong   Parti Komunis Malaya. Mungkin juga mereka terpaksa menyokong perjuangan komunis.

Satu malam,  rumah kami dalam kebun  getah .  Waktu itu sekitar 1- 5 pagi.   Waktu itu saya masih kecil lagi.  Saya melihat api menjulang tinggi di Pekan Simpang. Rupa-rupanya Tentera British membakar kedai-kedai tersebut . Sebabnya  ada sebuah estet berhampiran   bernama Ladang Dominion. Ladang  ini ditanam dengan getah dan getah merupakan barang  eksport yang penting kepada British.

Pekerja ladang Dominion selalu diganggu oleh  pengganas komunis.  Pihak tentera British memberi  kata dua. Jika  mengacau lagi  pekerja ladang,  petempatan mereka akan dimusnahkan. Tetapi  pihak komunis tidak endah dengan  amaran tersebut. Oleh itu tentera British sengaja membakar kawasan kedai tersebut bagi melemahkan sokongan mereka kepada pengganas komunis.

Pertempuran berlaku hampir setiap malam.  Pangkalan   komunis   terletak di Bukit Sekar. Mereka menaikkan bendera komunis . Ketika itu saya berumur sekitar 5  tahun.

Bapa saya menjadi  SC di Sydney Estate.  Bapa saya bertempur setiap malam.

Kami sekeluarga   duduk di  sebuah banglo di Sydney Estate.  Bila bertempur,  kami diarahkan menyorok dalam kolam atau dalam parit. Peluru berdesing di telinga. Tembus- menembus kubu pasir dan tanah di situ.

 Antara SC yang terkorban ialah :

1. Special Constable Sharif di Broga. Ketika itu dia dan yang lain sedang naik kereta SC GMC , diserang oleh komunis di tengah jalan menuju ke Broga. Di kawasan ada kawasan ladang getah dan lombong bijih timah.

2.    Harun  ( lama ) . Kepalanya hancur.

3. Hassan .( Asalnya  kelapa ditangkap. …..)

4. Raja Bot ditanam  dan ditanam di Broga.

5.Zakaria.

6. Tokeh  Idris,  datuk kepada Suhaimi.  ( dipercayai tuk dagang Sungai Lalang).

 

Pada penghujung darurat,  penduduk Melayu duduk  menumpang di tanah kerajaan   dan tanah itu pula berpasir. Tanah itu ialah bekas lombong. Mereka tidak diberikan tanah seperti orang Cina.  Ketika itu tapak rumah hanyalah bekas lombong. Sekitar tahun 1970-an, ketika Menteri Besar Datuk Harun Idris,  penduduk dibanci,  konon tanah tersebut akan dibuat lombong.   Mereka diberikan tapak tanah seluas 50 X 90 kaki. Rumah- rumah penduduk itu dibina oleh kerajaan . Rumah dibina dengan kos   $1500.00 . Ketika itu, jumlah wang tersebut memang boleh dibuat rumah. Keadaannya sangat tersusun. Pemberian tanah secara lot-lot .

Pada mulanya hendak diberikan nama Kampung Datuk Harun. Tapi  tak jadi , mungkin   kerana Datuk Harun menolak cadangan tersebut . Ketika itu Datuk Harun terkenal  di seluruh negeri Selangor, malahan juga di  seluruh Malaysia.

Pasir memang banyak. Ia merupakan bekas lombong. 

Penempatan semula merupakan  rancangan membasmi  komunis.  Ketika itu saya tak tahu apa-apa. Setelah belajar kemudian ,barulah tahu namanya ialah Rancangan Brigg. Sekatan makanan dan perubatan dilakukan.

Special Constable ini  , markasnya ialah di Balai Polis Semenyih sekarang ini. Tiap-tiap estet pula ada pusat atau pondok  SC. Contohnya di Broga, Bangi. Ada stesen .

Sungguhpun orang Melayu dibunuh oleh komunis, tiada  tindakan balas dendam. Oirang Cina ini membalas dendam kerana salah sendiri juga .  Mereka yang  terbunuh ini nakal. . Mereka ditangkap dan dibunuh.

Semasa aman , sekitar tahun 1976, ketika saya duduk di Taman Hew Thai, seorang Cina dibunuh oleh   Cina yang lain kerana dendam zaman komunis.

Wahab  dibunuh kerana  menjadi talibarut Jepun.

Orang Cina   , mengikut sejarahnya memang ada kaitan dengan sejarah di negara   Tibet dan Mongolia .  Orang Jepun memang  sudah lama berperang    dengan orang  Cina.

Orang Melayu suka kerja makan gaji.   Oleh itu mereka bekerja dengan  tentera Jepun.

Contohnya perempuan menjaga pekerja di sawah.

Orang Cina tersiksa betul pada zaman Jepun.  Mereka lihat orang Melayu tidak diapa-apakan oleh   tentera Jepun. Orang Cina rajin-rajin. Mereka menanam  sayur sawi , kuchai dan lain-lain di Sempa iaitu di tapak kawasan  kilang Malaysian Top Making .  Ramai orang Cina tinggal di sekitar pedalaman Sungai Pening dan Sungai Kuning.  Golongan yang nakal ini mengambil atau mencuri   hasil tanaman mereka.

Seorang Cina perli 'banyak sayur "  sedangkan orang Melayu ini adalah penyokong Jepun, talibarut Jepun.

Tempat pembunuhan komunis ialah di Sempa. 

Ada seorang Indonesia, sudah meninggal dunia. Dipanggil Wak Jawa. bercermin mata, jadi jaga di Sempa. Dia terjumpa sebuah gua berpintu besi . Tempat itu tempat  komunis mengurung  orang jahat . Di dalamnya ada tengkorak terletak di bawah tanah.

Ayah saya seorang  special constable.  Rumah  terletak di  Kampung Sungai Lalang.

Sebuah sawmill ( kilang papan)    ada sebuah stesen SC.  Kedudukannya dekat dengan   Kolam Memancing Teratak Tekala sekarang .  Setiap SC  betugas bergilir-gilir.

Bapa saya pernah  latih saya menggunakan brengun. Mungkin ketika itu saya dalam tingkatan  1 , sekitar tahun 1957, umur pula 13 tahun.  Ayah mengajar menggunakan  dan membuka senapang. Masukkan peluru.  Kut-kut sesak , diharap dapat membantu . Senjata itu panjangnya  5 kaki.  Ayah tunjukan  cara tarik, pasang dan petik .Halakan ke arah mana , tembak dan menuju sasaran.

Rumah SC ada di Sawmill iaitu  sekarang ini di Batu 27.  Apabila   melintasi kawasan itu  hendaklah  tunduk menyusup kerana banyak komunis.

Ketika  bersekolah di Sekolah  Melayu Hulu Semenyih sekitar tahun 1951 –1952 ,   seorang Cina naik motor Triumph, dibunuh oleh oleh komunis secara serang hendap.   Kejadian itu berlaku di depan mata.  Serangan pada waktu siang , waktu sekolah.  Topi Cina tersebut terpelanting .

Di bahagian atas sekolah Rendah Hulu Semenyih  memang ada  estet orang putih.

Di bahagian bawah pula lombong bijih timah yang dikenali sebagai "Putih Tin"   Lombong tersebut  mengunakan kapal korek.  Kapal korek ini dikawal ketat oleh  tentera British.

 Ketika itu orang -orang putih ini disukai oleh orang Melayu. Apabila mereka   melintasi kami,  kami kanak-kanak akan angkat tangan. Mereka campakkan gula-gula, biskut, resen tentera British .Biskutnya tebal dan sedap, bukan macam resen sekarang ini.

Bila orang putih balik, mereka akan gali lubang dan tanam sisa-sisa makanan. Mata kami memang liar. Kami akan  mengorek semula lubang tersebut  dan mengambil sisa-sisa makanan yang ada seperti jem dan biskut tebal.  Gula-gulanya seperti tayar, bulat. Agak liat dan tidak berapa manis. Jika dimakan   semasa  pergi ke sekolah,   ketika balik dari sekolah masih tidak habis gula-gula tersebut. Mungkin digunakan   supaya tentera-tentera  British ini tahan berjaga .

Orang putih ini, iaitu pengurus ladang ini, kami panggil  ‘tuan’. Tuan ini ada mem . Banglo di Sydney Estate  tuan orang putih yang duduk. Tapi bapa saya yang duduk. Ada dua tingkat.Sekarang tidak ada lagi.  Ketika itu saya bersandar di tingkap, entah macam mana terjatuh dari tingkap dan kaki saya patah.

Komunis akan ambush orang putih.  Siang-siang mereka berkawan dengan kita . Satu masa, bila berjumpa di kedai berborak , seorang Cina memangil dan mengur bapanya , " Mat Nor, mari sini. Semalam  aaa,  sikit mahu lu habis" , kata seorang  Cina kepada ayahnya. Siang kerja SC, betugas menyerang komunis. Sebenarnya komunis ini pun takut hendak menembak.   Setiap malam ada 5 - 6  orang komunis   berkawal.  Kami ketika itu meniarap"

Kerana hidup dalam masyarakat.

Sandang senjata adalah satu  duti sahaja , bagai kerja rela sekarang ini.

Cina dah lama disiksa. Jepun punca permusuhan. Semasa Jepun, pernah seorang anak dicucuk   dengan dawai dan diheret dengan lori Jepun.

Pemerintahan komunis  hanya 14 hari sahaja.

Sebenarnya masa itu banyak parti politik seperti MPAJA, PKM, KMM. Sekitar tahun 1953.

Semasa hari pertabalan Queen Elizaberth,  semua penduduk berkumpul di padang Kachau.  Orang putih jadi tuan, Ada upacara menaikkan bendera, nyanyian saya tidak berapa pasti .   Diedarkan lencana Queen Elizaberth.  Kini Queen berumur 100 tahun . Ketika saya melawat ke London ada sambutan ulangtahun Queen Elizaberth .

Jika hendak  ke High School,  naik bas Foh Hup. Warna hijau.   Tambang 15 sen , ketika di tingkatan 1..  25 sen dari Semenyih ke Kajang.

Gate  Kachau  terletak di depan  rumah Penghulu Said atau Cikgu Shaharuddin . Rumah cat kuning. Penumpang tidak diperiksa dengan rapi ,  hanya tinjau-tinjau sahaja oleh pasukan Special Constable .

Penduduk Kampung Baru makan nasi kawah. Hanya boleh ambil nasi, beras tidak diberikan kerana  dipercayai akan diseludupkan kepada komunis. Jika   nasi disimpan, ia akan basi. Cara ini cukup berkesan untuk membendung pengaruh komunis.

Kampung Pasir dipagar dawai berduri.  Special Constable  berkawal di pintu gate .

Asal Kampung Baru Sentosa saya tidak berapa pasti.

 Di Pekan Simpang, ada banyak kedai runcit.  Peniaga Melayu ada dua . Sebuah daripadanya ialah  kedai Imam Manaf yang menjual barangan runcit.  Selain itu ialah Wahab yang membuka kedai gunting rambut.

Peniaga Cina di Pekan Simpang pula ialah Chin Kun .  Anehnya Chin Kun ini ialah bila malam Jumaat, sama-sama mengaji. Adiknya (anak ) dahulu pernah menjadi guru besar Sekolah Rendah Kebangsaan Yu Hua . Kajang.

Ah Yong pula menjual buah-buahan. ( sila tanya kerani SMK Engku Husain ).

Cikgu Alias Toyan , sekarang ini berumur 65 tahun.  Sebelum jadi guru pelatih, pernah membakar mercun di kawasan  ladang Dominion.  Ketika itu pertempuran berlaku tiap-tiap malam.  Tentera British mencari beliau.  Alias Toyan  melarikan diri ke Johor.

Pengurus Ladang Dominion , dulunya orang putih. Tanamannya ialah getah. Ada banglo untuk pengurus dan  rumah-rumah pekerja.  Pekerjanya terdiri daripada orang India. Nama pengurus itu ialah , mungkin Augustine.  Tukang masak ialah seorang  Melayu bernama Ali dan isterinya. Anaknya ialah Sulaiman.  Sulaiman kini jadi drebar D.O , kini sudah pencen.

Sekolah Rendah Hulu Semenyih, dahulunya  dibuat daripada   papan, bertiang batu besar, Atapnya genting. Ada juga  beratap nipah. Bilangan murid sekitar 60 orang. Sekitar tahun 1955 / 1956.   Sekolah ini wujud sudah lama. Datuk saya kata  dia bersekolah di situ maknanya sekolah terlah didirikan sebelum datuk saya sekolah.. Sekolah ini diajar oleh guru-guru Melayu.

Ada sebuah sekolah Cina  mungkin bernama Ton Fah di Pekan Semenyih. Sekolah ini dibina di Pekan Simpang, tetapi kini tiada lagi. Orang India juga ramai tapi tidak pasti , ada sekolah tamil atau tidak.